Anda fikir lambat lakukan pembayaran untuk pinjaman anda bukan hal yang besar? Fikir semula. Sama ada ia merupakan pinjaman peribadi, pinjaman perumahan, kad kredit ataupun pinjaman pendidikan, anda bakal berhadapan akibat buruk jika anda lambat lakukan pembayaran balik pinjaman.
Anda perlu bayar lebih
Sama ada ia pembayaran balik untuk pinjaman peribadi ataupun untuk kad kredit, anda akan dikenakan caj penalti bayaran lewat dan juga caj-caj lain.
Selain daripada itu, anda juga perlu tahu tentang sistem bayaran berperingkat yang diperkenalkan oleh Bank Negara Malaysia. Akibat daripada lambat melakukan bayaran balik pinjaman, pihak bank berhak untuk meningkatkan kadar faedah yang dikenakan kepada anda. Kadar faedah berperingkat ini adalah untuk kad kredit.
Berkaitan: Bagaimana Untuk Menghadapi Pengutip Hutang?
Contohnya jika anda mempunyai kad kredit yang dikenakan kadar faedah 15% setahun, caj untuk kadar faedah akan dinaikkan jika anda kerap lambat lakukan bayaran balik. Sistem yang dilaksanakan pada Jun 2008 itu bertujuan untuk meningkatkan disiplin kewangan serta penggunaan berhemah dalam kalangan pengguna kad kredit. Kadar faedah berperingkat untuk kad kredit adalah seperti berikut:
- Tier 1: kadar faedah maksima 15% setahun (untuk pemegang kad kredit yang melangsaikan bayaran minima bulanan bagi 12 bulan berturut-turut)
- Tier 2: kadar faedah maksima 17% setahun (untuk pemegang kad kredit yang melangsaikan bayaran minima bulanan sekurang-kurangnya 10 bulan dalam tempoh 12 bulan)
- Tier3: kadar faedah maksima 18% setahun.
Untuk pinjaman rumah dan pinjaman peribadi, bank turut berhak meningkatkan kadar faedah jika anda sering lewat membuat bayaran balik. Walaupun bukan semua bank mengamalkan langkah tersebut, lebih selamat jika anda bersikap berdisiplin dalam membuat bayaran balik.
Berkaitan: Apakah Perbezaan Antara Hutang Baik Dan Hutang Lapuk?
Risiko kehilangan aset anda
Untuk pinjaman perumahan dan pinjaman kenderaan, selain risiko bayaran balik yang lebih tinggi seperti yang telah dibincangkan di atas, aset yang anda beli melalui pinjaman tersebut (rumah atau kereta) juga boleh ditarik oleh pihak bank jika anda kerap lewat atau tidak membuat bayaran balik. Oleh itu, pastikan anda lakukan bayaran balik tepat pada masanya untuk mengelakkan asset anda ditarik balik.
Selain daripada perlu melangsaikan caj tambahan kerana lambat lakukan pembayaran pinjaman, anda juga perlu menangggung kos tambahan jika kereta anda ditarik. Walaupun anda telah melangsaikan bayaran tersebut, anda terpaksa menunggu surat pengesahan dari bank sebelum anda boleh menuntut kembali kereta anda. Jadi anda boleh lihat bahawa lambat melakukan pembayaran balik pinjaman akan menambahkan kos dan juga menyusahkan anda.
Bagi pinjaman rumah pula, jika anda lambat atau tidak melakukan bayaran balik, ia boleh mendatangkan risiko rumah anda dilelong oleh bank. Pastikan anda membuat bayaran balik segera dan jangan panik terutamanya apabila telah menerima perintah mahkamah yang rumah anda akan dilelong. Pastikan anda tidak terlepas jadual pembayaran, kerana kesannya adalah lebih buruk. Ingat, selagi anda belum melangsaikan bayaran balik sepenuhnya, rumah anda masih lagi milik bank.
Anda sukar untuk memohon pinjaman atau perkhidmatan kewangan lain di masa akan datang
Jika selalu lambat atau tidak membuat bayaran balik pinjaman anda, anda bakal berhadapan dengan kesukaran untuk mendapat akses kepada kemudahan perkhidmatan kewangan lain pada masa akan datang. Corak pembayaran anda itu akan direkod dalam skor kredit anda yang menjadi panduan bagi bank, pemberi pinjaman malah juga sebahagian tuan rumah sebelum mereka meluluskan permohonan anda.
Dengan skor kredit yang buruk akibat kerap corak pembayaran yang tidak baik, bank bakal mengenakan kadar faedah yang lebih tinggi untuk anda, permohonan pinjaman akan ditolak, dan tuan rumah mungkin keberatan untuk menyewakan hartanahnya kepada anda. Malah, skor kredit juga boleh menjadi penentu sama ada anda bakal diambil bekerja ataupun tidak, terutamanya untuk pekerjaan dalam sektor kewangan.
Seperti yang anda telah lihat, skor kredit memainkan peranan penting dalam aspek kewangan dan kehidupan anda. Cara untuk menambah baiknya amat mudah, salah satunya ialah dengan berdisiplin dalam membuat bayaran balik pinjaman anda.
Tips: Mengelak Kesan Negatif Skor Kredit yang Buruk
Anda boleh dihalang untuk ke luar negara
Mungkin khusus untuk peminjam PTPTN. Jika anda mempunyai bayaran PTPTN yang tertunggak, pihak PTPTN akan memaklumkan jabatan imigresen untuk disenaraihitam dalam pangkalan data mereka. Lantas, anda bakal dihalang untuk keluar negara dan juga untuk memperbaharui passport sehinggalah anda membuat bayaran tertunggak tersebut. Ini boleh menjadi mimpi ngeri jika anda telah merancang untuk melancong keluar negara.
Lihat juga: Kesan Buruk Tidak Membayar Pinjaman PTPTN
CompareHero.my sentiasa berusaha untuk memupuk kefahaman kewangan dalam kalangan rakyat Malaysia. Bandingkan produk-produk kewangan (kad kredit, serta pinjaman peribadi hanya di CompareHero.my