Pasti ramai ibu-bapa yang sudah mula mengira duit raya yang diperolehi anak baru-baru ni kan? Kami yakin jumlahnya pasti banyak memandangkan sudah hampir 2 tahun kita tidak berpeluang untuk melakukan aktiviti ziarah pada Aidilfitri. Jom kami kongsikan cara terbaik untuk uruskan duit raya anak anda.
Sebelum kita bincangkan isu ini dengan lebih lanjut, anda pernah tak terfikir seperti berikut?
“Nasib baik anak dapat banyak duit raya, boleh la nak cover perbelanjaan yang sudah dikeluarkan musim perayaan ni kan!”
Sekiranya anda terfikir seperti diatas atau mempunyai perancangan untuk menggunakan duit raya anak anda bagi tujuan apa sekalipun, jom kita rujuk link ini untuk dapatkan penjelasan mengenai hukumnya dari sudut agama.
Sekarang jelas ya, sebagai ibu bapa ataupun penjaga, kita tidak berhak untuk menggunakan duit raya anak tanpa alasan yang munasabah kecuali terdesak. Sekiranya terguna atas perkara yang tidak menjadi keperluan, ibu bapa WAJIB menggantikannya.
Berbalik kepada topik kita, ibubapa perlulah bijak menguruskan duit raya daripada anak masih kecil untuk memastikan anak anda mempunyai simpanan atau pun aset apabila dewasa nanti. Jadi bagaimana cara yang terbaik untuk uruskan duit raya anak?
1. Akaun Simpanan Tabung Haji
Ramai yang salah faham mengenai akaun Tabung Haji dan menyangka Tabung Haji merupakan akaun simpanan untuk ke haji semata-mata. Ini tidak tepat! Sekiranya anda membuka akaun simpanan Tabung Haji anda boleh mengeluarkan simpanan anda pada bila-bila masa untuk kegunaan apa jua kerana ia adalah hak serta simpanan anda. Namun ramai yang menggunakannya bagi tujuan simpanan untuk menunaikan ibadah haji kerana faktor kos ibadah tersebut yang tinggi.
Data di dalam rajah ini merupakan dari tahun 2019. Tidak mustahil sekiranya kos semakin meningkat seiring dengan tahun. Pembaca portal CompareHero turut berkongsi mengenai pengalaman dan pendapat peribadi mereka mengenai simpanan Tabung Haji untuk anak-anak di link ini.
Jadi sebagai ibu bapa yang bertanggungjawab untuk menguruskan duit anak-anak, anda boleh mula membuka akaun Tabung Haji sejurus selepas anak anda dilahirkan dan apabila mereka telah mencecah usia 18 tahun, mereka sudah pun mempunyai simpanan sendiri dan bukannya baru nak mula menyimpan!
Klik link ini untuk buka akaun simpanan Tabung Haji untuk anak anda secara online.
2. Labur dalam akaun ASB Remaja/Bijak
Sejak kebelakangan ini ramai yang celik mengenai Amanah Saham Bumiputera atau lebih dikenali sebagai ASB dan rata-rata di kalangan kita telah pun melabur dalam ASB ini. Anda boleh mula melabur bagi pihak anak seawal usia kelahiran mereka hingga 18 tahun. Sebelum ini pihak ASB hanya membenarkan pendaftaran untuk kanak-kanak berusia 6 bulan ke atas namun sejak tahun 2018, bayi baru lahir juga sudah digalakkan untuk membuka akaun ASB.
Buat yang masih berbelah bagi mengenai ASB Remaja ini, baru-baru ini pihak ASB telah melancarkan kempen Labur Raya 2022 bermula 1 Mei hingga 31 Julai 2022 bagi mengalakan pelaburan duit raya dimana anak anda berpeluang untuk memenangi hadiah wang tunai serta Junior Investment Plan yang bernilai RM5000. Untuk menyertai kempen ini, anda boleh pilih untuk labur di ASB, ASB 3 Didik, dan ASM 3 ATAU daftar auto labur. Dapatkan maklumat lanjut mengenai kempen ini disini.
3. Labur menerusi AHB
Eh AHB ni apa pula? Buat yang tidak tahu, AHB atau Amanah Hartanah Bumiputera ialah dana unit amanah yang melabur dalam pemunyaan hartanah komersial di lokasi utama di Malaysia bagi tujuan memberikan aliran pendapatan kepada pelabur Bumiputera sambil mengekalkan modal pelaburan pelabur. Selain dari mematuhi syariah, antara kelebihan melabur dengan AHB ialah:
- Modal pelaburan serendah RM100.00 sahaja bagi pelaburan tunai
- Berpeluang melabur untuk hartanah komersial di lokasi utama di Malaysia
- Hak anda sebagai pelabur dijaga oleh AmanahRaya Trustees Berhad
- Agihan pendapatan sebanyak dua kali setahun!
Anak anda perlu berusia sekurang-kurangnya 3 bulan hingga 18 tahun untuk melayakkannya membuka akaun remaja. Untuk membuat pendaftaran anda boleh ke mana-mana cawangan Maybank atau Ambank.
4. Simpan di akaun Simpan SSPN Prime
SSPN-i atau kini dikenali sebagai Simpan SSPN Prime merupakan sebuah inisiatif daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPN) untuk memupuk budaya menabung di kalangan ibu bapa bagi tujuan pendidikan tinggi anak-anak. Simpanan ini amat disarankan kerana kos pengajian yang semakin tinggi saban hari. Walaupun kini terdapat pelbagai kelebihan yang anak anda boleh nikmati dengan akaun simpanan ini ialah:
- Pemberian dividen setiap tahun
- Perlindungan takaful percuma serta khairat kematian
- Simpanan dijamin oleh kerajaan
- Layak memohon pinjaman PTPN (sekiranya memerlukannya).
Buat yang mempunyai anak berusia 18 tahun ke bawah sila klik link ini untuk ketahui lebih lanjut mengenai Skim Simpan SSPN Prime serta cara mendaftarkan akaun.
5. Labur dalam akaun pelaburan emas di bank
Mesti ramai yang selalu dengar statement seperti, ‘kalau beli emas, kita tak akan rugi sampai bila-bila’. Kenyataan ini ada benarnya kerana harga emas sentiasa naik dan merupakan satu pelaburan yang baik namun sekarang anda mempunyai pilihan untuk membeli emas secara fizikal ataupun dalam talian. Beli emas dalam talian? Ia bukan seperti beli emas di Lazada dan dihantar ke rumah anda ya...
Beli emas dalam talian di sini bermaksud membuka akaun, membeli dan menjual emas, serta memindahkan emas, semuanya dalam talian menerusi perbankan dalam talian. Banyak bank seperti Maybank, Public Bank, CIMB Bank, UOB, HSBC Bank dan Kuwait Finance House. Pelaburan seperti ini sangat sesuai untuk anda yang ingin membuat pelaburan emas untuk jangka panjang. Akaun emas ini juga membolehkan anda membeli 99.9% emas tulen secara digital dan menjualnya semula dengan mudah melalui perbankan dalam talian. Anda juga boleh keluarkan pelaburan ni secara tunai, emas fizikal atau transfer ke dalam akaun semasa/simpanan bergantung kepada bank masing-masing.
Untuk pastikan pilihan simpanan atau pelaburan yang anda buat tepat, anda perlu berbincang dengan pasangan dan tentukan matlamat jangka panjang untuk anak anda. Walau apa sekalipun pilihan anda, pastikan anda membuat kajian yang secukupnya supaya anda faham dengan jelas mengenai simpanan atau pelaburan tersebut.