9 Jenis Caj Kad Kredit Termasuk Pengeluaran Tunai & Transfer Duit

CompareHero.my Team

CompareHero.my Team

Last updated 18 February, 2022

Jika digunakan dengan betul kad kredit akan memudahkan hidup anda. Kami senaraikan 9 caj kad kredit yang perlu anda ketahui untuk mengelakkan caj berlebihan sewaktu menggunakan kad kredit supaya anda tidak rugi.

1. Caj pendahuluan tunai

Terdapat beberapa bank di Malaysia yang menawarkan pendahuluan tunai untuk pemegang kad kredit. Fungsi ini membenarkan pemegang kad kredit untuk mengeluarkan wang di ATM atau kaunter menggunakan kad kredit mereka. Jumlah yang dikeluarkan kemudian akan ditolak dari had kredit, dan terdapat had tertentu untuk perkhidmatan pendahuluan tunai ini.

Terdapat golongan yang akan melihat perkhidmatan ini sebagai jalan pintas untuk mendapatkan tunai  tetapi jangan cepat teruja. Pendahuluan tunai ini sebenarnya sejenis pinjaman dengan kadar faedah yang sangat tinggi, selain caj lain yang juga akan dikenakan keatas pengguna.

Sebagai contoh, caj faedah yang akan dikenakan bermula dari hari pengeluaran sehinggalah bayaran penuh dibuat. Biasanya, caj faedah yang dikenakan ialah setinggi 18% iaitu caj tertinggi yang dibenarkan. Dengan kadar seperti itu yang bakal dicaj setiap hari, cuba anda bayangkan berapa yang perlu anda bayar hanya untuk faedah sahaja. Selain kadar faedah yang tinggi, anda juga akan dikenakan caj untuk pengeluaran wang.

Baca juga: Kelebihan Menggunakan Kad Kredit Berbanding Tunai

2.Pengeluaran ATM antarabangsa

Jika anda menggunakan kad kredit untuk mengeluarkan wang sewaktu berada di luar negara, caj pengeluaran dan juga fi tukaran matawang akan dikenakan untuk setiap transaksi. Kad kredit anda juga perlu menyokong rangkaian Cirrus atau PLUS yang membenarkan anda untuk membuat pengeluaran wang di mesin ATM seluruh dunia. Jumlah caj yang dikenakan adalah tetap bagi setiap bank, iaitu sekitar RM8 – RM12. Sebagai contoh, Hong Leong mengenakan caj RM12.72 untuk pengeluaran melalui Cirrus atau PLUS.

Salah satu perkara yang perlu diberi perhatian ialah  tukaran matawang serta-merta. Sesetengah ATM akan menawarkan pilihan tukaran matawang dinamik (DCC) untuk mengeluarkan wang tersebut menggunakan matawang negara anda. Jangan gunakan pilihan ini kerana anda akan kerugian. Lihat penerangan lanjut DCC adalah seperti berikut.

3. Tukaran matawang dinamik (DCC)

Antara sebab ramai individu memilih untuk menggunakan kad kredit terutamanya sewaktu melancong ialah kemudahan yang ditawarkan. Anda tidak perlu membawa wang tunai yang banyak dan hanya perlu bayar menggunakan kad kredit. Selain daripada kemudahan itu, anda juga boleh menikmati penjimatan apabila menggunakan kad kredit.

Tetapi, untuk memastikan anda dapat jimatkan wang dan tidak dicaj berlebihan, anda harus faham bagaimana tukaran matawang dinamik (Dynamic Currency Conversion) berfungsi. DCC memberikan anda pilihan matawang yang digunakan ketika anda melakukan pembelian di luar negara dengan kad kredit.

Contohnya, anda di London dan ingin membuat bayaran hotel anda menggunakan kad kredit. Anda akan ditanya sama ada ingin membayar menggunakan Ringgit (RM) ataupun Pound (GB). Anda bakal melakukan kesilapan jika memilih untuk membayar menggunakan RM, dengan menyangka ianya lebih murah.

Jika anda melancong ke luar negara, gunakan matawang tempatan dalam membuat bayaran. Dengan menggunakan RM, anda akan berhadapan dengan caj tukaran matawang asing di bank luar negara. Sesetengah bank juga akan mengenakan fi tambahan serta caj pengurusan.

Tips: Jika anda tidak pasti tentang caj yang dikenakan untuk pengunaan kad kredit anda, dapatkan kepastian dari pihak bank pengeluar kad kredit anda.

4. Yuran urusniaga asing

Caj ini mungkin biasa bagi mereka yang sering membeli-belah di luar negara. Yuran urusniaga asing merupakan sejenis caj yang dikenakan apabila pemegang kad kredit membeli barang di luar negara atau urusniaga yang diproses oleh bank luar negara. Yuran ini bergantung kepada pengeluar kad kredit. Biasanya, caj yang dikenakan ialah sekitar 1-3% dari jumlah bayaran.

Jika anda tidak pasti berapa caj yang dikenakan, hubungi bank anda sebelum membuat bayaran.

5. Kadar faedah

Ini merupakan antara caj penting yang perlu diberi perhatian oleh pemegang kad kredit. Semua kad kredit mengenakan caj kadar faedah. Namun, ramai pemegang kad kredit salah faham kerana menyangka caj ini dekenakan setiap kali anda menggunakan kad kredit.

Sebenarnya, anda hanya akan dikenakan caj kadar faedah sekiranya ada baki tertunggak pada akaun anda selepas tempoh tanpa faedah. Dari tarikh penyata kad kredit dikeluarkan sehingga tarikh akhir,  jika anda lakukan pembayaran sewaktu tempoh ini anda tidak akan dikenakan sebarang faedah.

Bagi menikmati kelebihan ini, pastikan anda membuat bayaran pengunaan kad kredit anda sepenuhnya pada atau sebelum tarikh akhir tersebut. Kebanyakan bank menawarkan tempoh penangguhan sehingga 20 hari dari tarikh penyata kad kredit dikeluarkan. Namun dapatkan dapatkan pengesahan dari bank anda terlebih dahulu. Kadar faedah juga boleh berubah dengan sedikit atau tanpa sebarang makluman. Ini boleh disebabkan kerana anda lambat membuat bayaran yang membolehkan anda dikenakan caj kadar faedah sehingga 18%.

Baca juga: Perbezaan Diantara Kadar Keuntungan dan Kadar Faedah

6. Caj bayaran lambat

Caj ini dikenakan kepada pemegang kad kredit yang lambat melangsaikan baki tertunggak akaun kad kredit mereka. Contohnya, jika bayaran minima tidak dibuat selepas tarikh akhir, caj sebanyak 1% akan dikenakan kepada baki tertunggak, dari serendah RM10 hinggalah RM100.

Baca juga: 6 Sebab Pembayaran Kad Kredit Anda Ditolak

7. Yuran tahunan

Yuran tahunan merupakan caj penyelenggaraan yang dikenakan oleh bank kepada pemegang kad kredit. Sesetengah bank akan memansuhkan yuran tahunan kad kredit bergantung kepada jenis kad dan promosi. Biasanya, kad kredit yang memiliki yuran tahunan menawarkan ganjaran serta kelebihan berbanding kad biasa. Yuran tahunan yang dikenakan ialah dari RM80 hingga RM626 untuk kad kredit premium.

Inginkan kad kredit tanpa yuran tahunan? Klik pautan dibawah untuk banding dan mohon kad kredit tanpa yuran tahunan secara percuma.

8. Yuran Kad Baharu

Jika kad kredit anda hilang, rosak, atau dicuri, anda akan dikenakan caj untuk menggantikan kad tersebut. Caj yang dikenakan berbeza bagi setiap bank. Sebagai contoh, Maybank dan Citibank mengenakan caj RM50, manakala AmBank mengecaj RM25 untuk dapatkan kad kredit baharu.

9. Caj GST

Bermula 1 April 2015, kerajaan telah menguatkuasakan cukai GST sebanyak 6%, dengan pengecualian terhadap beberapa barang keperluan asas. Dengan penguatkuasaan ini, yuran dan caj kad kredit juga tertakluk kepada GST. Sebelum ini, pemegang kad kredit hanya dikenakan cukai perkhidmatan. Selepas pelaksanaan GST, cukai perkhidmatan sebanyak RM50 telah dimansuhkan. Selain itu, perlu difahamkan bahawa GST hanya akan dicaj untuk yuran tahunan, dan tidak terhadap caj bayaran lambat dan caj lain.

Pastikan anda ketahui dan faham caj yang dikenakan sewaktu menggunakan kad kredit seperti yang dimaklumkan diatas. Dengan ini, anda boleh elakkan caj seperti caj bayaran lambat, kadar faedah yang tinggi, dan tukaran matawang dinamik sekaligus menjadi pengguna kad kredit yang bijak.


Find out our latest credit card promotions here!

The CompareHero.my team is comprised of many talented individuals, sharing their knowledge, experiences and research to help others make better financial decisions.

FINANCIAL TIP:

Use a personal loan to consolidate your outstanding debt at a lower interest rate!

Subscribe to our newsletter to stay up-to-date with exclusive money-saving tips & great deals