Pembukaan Semula Sempadan: Lapangan Terbang Seluruh Negara Sedia

Fatin Haris

Fatin Haris

Last updated 01 April, 2022

Lapangan terbang di seluruh negara sedia untuk terima pengguna hari ini sempena pembukaan semula sempadan yang ditutup sejak dua tahun lalu.

Pengarah Urusan Malaysia Airports Iskandar Mizal Mahmood berkata kumpulan itu komited dalam memastikan standard tinggi yang konsisten di lapangan terbang.

“Untuk beberapa minggu kebelakangan ini, kami telah mengadakan libat urus harian dengan pelbagai pihak berkepentingan bagi memastikan operasi lapangan terbang berjalan lancar. Tiada yang tertinggal dari perhatian kami. Bukan sahaja kami melihat pada semua aspek perjalanan penumpang, kami juga memastikan pematuhan pada semua peraturan penerbangan,” katanya.

Proses dokumentasi ketika ketibaan dengan meminta penumpang menyempurnakannya di aplikasi MySejahtera sebelum berlepas dari negara asal mereka juga berjaya dipendekkan sebagai salah satu usaha penambahbaikan.

Selain itu, ruangan beratur di kaunter Imigresen telah diluaskan untuk keselesaan penumpang, tambahnya.

Iskandar juga berkata bagi memudahkan lagi pelancong, fasiliti saringan kesihatan swasta disediakan di lapangan terbang antarabangsa yang berfungsi untuk pelancong menjalani ujian RTK-Ag profesional. Perkhidmatan ini perlu di pratempah menerusi portal dalam talian.

Hari ini lapangan terbang seluruh negara dijangka menerima 119 penerbangan sempena hari pertama pembukaan semula sempadan negara.

Malaysia Airports turut meramalkan pergerakan kira-kira 20,900 penumpang antarabangsa pada 1 April, iaitu enam kali lebih banyak daripada purata pergerakan harian penumpang antarabangsa pada 2021.

CEO Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) Kapten Chester Voo pula berkata pihaknya telah menjalankan penyeliaan keselamatan efektif ke atas lapangan terbang dan operator penerbangan di Malaysia dan pihaknya berpuas hati dengan tahap pematuhan pada peraturan dan norma baru.

“Ini sesuatu yang menggalakkan, ketika industri penerbangan bersedia untuk permulaan semula yang selamat. CAAM ingin memuji Malaysia Airports dan operator penerbangan yang mengambil serius pematuhan ini demi keselamatan orang ramai,” katanya.

Sumber: Bernama

FINANCIAL TIP:

Use a personal loan to consolidate your outstanding debt at a lower interest rate!

Subscribe to our newsletter to stay up-to-date with exclusive money-saving tips & great deals