Menjual kereta terpakai bukanlah sesuatu yang mudah. Banyak proses yang perlu dilakukan, dan kebiasaannya mengambil masa yang lama.
Adakah anda tahu proses penjualan kereta dan langkah yang anda perlu ambil untuk menarik minat pembeli? Kami berikan jawapan kepada persoalan tersebut dalam artikel ini.
Perlukah anda menggunakan khidmat ‘dealer’?
Menggunakan khidmat ‘dealer’ boleh menyenangkan urusan anda, tetapi akan menyebabkan anda berhadapan kos yang tinggi. Menjual kereta anda kepada penjual kereta mempunyai risiko lebih rendah berbanding membeli kereta daripada mereka. Namun, anda perlu bersedia untuk menerima pulangan yang lebih rendah berbanding dengan jika anda menjual kereta anda sendiri. Jumlah perbezaan boleh mencecah sehingga ribuan ringgit.
Kebaikan menggunakan khidmat ‘dealer’ ialah mereka akan tetap membeli kereta anda, walaupun keaadaan kereta bukan dalam keadaan baik. Tetapi, mereka akan menawarkan harga serendah yang mungkin untuk kereta anda. Ini kerana itu merupakan cara mereka menjana keuntungan. Jadi, jika anda ingin menjual kereta tanpa perlu perbaiki kerosakan terlebih dulu, dan tidak kisah menerima harga yang murah, anda boleh ke dealer dan dapatkan tawaran setinggi yang boleh.
Berhati-hati dengan taktik untuk mengurangkan nilai kereta anda. Pada mula, mereka mungkin akan menawarkan harga yang boleh terima untuk kereta anda. Namun, selepas proses pemeriksaan, harga tersebut boleh jatuh sehingga 50% dari harga asal yang ditawarkan. Biasanya, alasan yang digunakan ialah mereka mendapati masalah pada kereta anda, contohnya calar.
Jika anda tidak berkenan dengan harga yang terlalu rendah, anda boleh gunakan khidmat ejen atau menjual kereta anda sendiri. Ejen biasanya bergerak secara bersendirian dan tidak menyertai mana-mana ‘dealer’, tetapi mereka turut memiliki kemahiran untuk memeriksa dan menjual kereta anda. Komisyen keatas penjualan yang mereka minta juga adalah lebih rendah, menjadikan ejen sebagai alternatif yang bagus. Namun, ingat anda perlu tinggalkan kereta anda dengan ejen tersebut sementara mereka menjualnya, jadi pastikan ejen yang anda gunakan memiliki reputasi yang bagus dan boleh dipercayai.
Bagaimana untuk menjual kereta anda sendiri?
Kelebihan menjual kereta anda sendiri ialah anda akan dapat pulangan yang lebih tinggi. Namun, prosesnya agak rumit. Jika ini kali pertama anda menjual kereta, jangan risau. Berikut merupakan langkah-langkah penting untuk panduan anda:
1. Reka iklan yang menarik
Mengiklankan kereta anda di laman web ataupun surat khabar dengan huraian ringkasan dan gambar tidak mencukupi. Anda perlu kreatif dengan pengiklanan anda untuk menarik pembeli dan memastikan kereta anda lebih menonjol berbanding kereta lain yang diiklankan.
Pastikan huraian kereta anda terperinci, termasuklah dengan gambar berkualiti tinggi. Jika dibenarkan, muat naik video untuk berikan gambaran spesifikasi kereta anda. Ini boleh menjadi kunci untuk menarik minat bakal pembeli.
ELAKKAN dari menggunakan perkataan yang sering digunakan penjual lain seperti ‘tip-top condition’. Susah untuk menarik pembeli jika pendekatan anda sama dengan yang lain. Jika anda menggunakan laman web Mudah.my, beli servis premium laman web tersebut untuk memastikan iklan anda sentiasa di atas senarai.
2. Tentukan harga yang betul
Tahukah anda nilai sebenar kereta anda? Hanya membuat perbandingan dengan kereta lain melalui model dan tahun pengeluaran yang sama tidak mencukupi. Ini kerana, setiap kereta tidak mempunyai keadaan yang sama (bergantung kepada cara pemanduan pemilik kereta). Meletakkan harga permulaan yang mahal untuk mengelakkan kerugian ketika tawar-menawar juga tidak bijak.
Apa yang anda boleh buat ialah kaji dan bandingkan harga pasaran. Gunakan laman web seperti Carlist.my, Motor Trader dan oto.my untuk membantu anda. Iklankan harga yang paling hampir dengan harga terakhir yang anda ingin. Anda juga boleh gunakan laman web Carreviewsncare untuk mendapatkan tips menaiktaraf kereta anda, sekaligus menambah harga jualan.
Tip: Kadar harga sebelum musim perayaan (Tahun Baru, Tahun Baru Cina dan Hari Raya) selalunya lebih mahal berbanding tempoh biasa, dengan pertambahan permintaan orang yang ingin menukar kereta baru sebelum pulang ke kampung.
3. Selenggara kereta anda
Perkara yang kerapkali diabaikan oleh pemilik yang ingin menjual kereta mereka. Jujurnya, hampir 100% pembeli tidak berminat untuk membeli kereta yang keadaannya tidak semenggah. Boleh dikatakan penyelenggaraan kereta anad merupakan aspek paling penting untuk mencari pembeli.
Berbelanjalah sedikit untuk menservis kereta anda (terutamanya pada penghawa dingin), membasuh kereta, menukar tayar, dan juga perkara lain yang kelihatan remeh seperti tingkap, membaiki calar dan kemek, keretakan, dan juga cermin. Utamakan bahagian luar kerana itu menjadi perhatian bakal pembeli sebelum hal lain. Malah, kereta dalam keadaan baik cantik akan lebih mudah untuk dijual pada harga yang mahal.
4. Pandangan pertama itu penting
Apabila bakal pembeli ingin berjumpa, pastikan anda berikan pandangan pertama yang positif. Pemilik kereta perlu teliti dalam hal ini, terutama jika ingin berjumpa bakal pembeli yang ingin membuat pandu-uji. Basuh kereta anda sebelum tarikh yang dijanjikan dan sediakan dokumen yang diperlukan seperti rekod servis kereta, resit pembaikian dan juga salinan pendaftaran kereta dari JPJ untuk meyakinkan bakal pembeli.
Anda juga dinasihatkan untuk membawa teman (ahli keluarga atau rakan) dan lakukan perjumpaan di kawasan terbuka untuk mengelakkan keadaan yang tidak diingini berlaku.
5. Tawar-menawar
Ini merupakan aspek paling penting semasa menjual kereta anda. Tambah lagi dengan budaya kita yang gemar untuk tawar-menawar harga dan meminta diskaun, terutamanya untuk sesuatu dengan harga ribuan ringgit seperti ini.
Pertama, tentukan bagaimana bakal pembeli kereta anda akan membuat bayaran, sama ada tunai ataupun melalui pinjaman bank. Bayaran tunai biasanya lebih pantas dan mudah, kerana pemohon pinjaman kereta perlu melalui pelbagai proses untuk memastikan pinjaman mereka diluluskan.
Jika anda berhasrat untuk memberikan diskaun atau harga istimewa, keutamaan sepatutnya diberikan kepada bakal pembeli yang membayar dengan tunai. Setelah mencapai persetujuan harga, tetapkan jumlah deposit yang perlu dibuat oleh bakal pembeli. Biasanya, jumlah deposit ialah sekitar RM 500, tetapi bergantung kepada kepentingan anda, asalkan tidak terlalu tinggi (nanti bakal pembeli anda lari!).Tahniah, kini kereta anda telah mempunyai pembeli!
6. Pemeriksaan PUSPAKOM dan rekod saman
Sebelum anda boleh membuat urusan penukaran hak milik, anda perlu membawa kereta tersebut ke pusat PUSPAKOM terdekat untuk tujuan pemeriksaan. Pergi awal pagi jika boleh untuk mengelakkan kesibukan. Ingat, jika kereta anda memeliki cermin gelap (tinted), tanggalkannya terlebih dahulu sebelum pemeriksaan.
Kos pemeriksaan PUSPAKOM ialah sekitar RM30 (RM 60 jika pembeli anda menggunakan pinjaman bank). Jangan lupa untuk bawa bersama kad pemeriksaan JPJ anda. Selepas itu, PUSPAKOM akan menyerahkan sijil pengesahan bahawa kereta anda layak untuk ditukar hakmilik. JANGAN hilangkan sijil ini kerana anda perlukannya sewaktu proses penukaran hakmilik di JPJ nanti.
Anda juga perlu memeriksa status saman dibawah nombor pendaftaran kereta anda. ini kerana anda tidak boleh mempertanggungjawabkan saman itu kepada pembeli kereta anda. Status saman tersebut boleh diperiksa di laman web ini (untuk saman JPJ) dan ini (untuk PDRM). Anda juga boleh memeriksa status saman melalui SMS. Untuk JPJ, taip JPJ SAMAN (No. IC atau pendaftaran kereta) dan hantarkan ke 15888. Bagi saman polis pula, taip POLIS SAMAN (No. IC atau pendaftaran kereta) dan hantarkan ke 15888.
7. Penukaran hak milik
Ini merupakan langkah terakhir proses penjualan kereta anda. Sebelum itu, jika pembeli membuat bayaran tunai, pastikan bayaran telah dibuat terlebih dahulu, samada melalui pindahan akaun atau cek bank. (Kami nasihatkan anda tidak menerima cek peribadi atas sebab keselamatan).
Pergi ke pejabat JPJ untuk urusan penukaran hak milik selepas bayaran tersebut dibuat. Bawa bersama kad pendaftaran kereta yang asal serta IC anda. Manakal pembeli kereta pula perlu membeli insurans kereta terlebih dahulu. Jika dia menggunakan pinjaman, jumlah insurans tersebut perluah sekurang-kurangnya 90% dari nilai kereta tersebut.
Selepas mengisi borang yang diperlukan, pembeli kereta anda perlu membayar RM 100 sebagai bayaran pindahan. Nama pembeli akan didaftarkan di kad pendaftaran kereta selaku pemilik baru. Tahniah, kereta anda telah dijual!
Baca juga: Cara Untuk Memperbaharui Insurans Kereta Dan Road Tax Anda Di Malaysia