Membeli hartanah di Malaysia merupakan impian setiap individu. Walaupun laporan menunjukkan peningkatan harga rumah akan perlahan disebabkan keadaan ekonomi dan pasaran hartanah semasa, ramai golongan millennial masih tidak melihat peluang cerah untuk memiliki hartanah.
Untuk membantu anda memahami nilai rumah yang anda boleh beli dengan pendapatan semasa anda, kami telah menyediakan jadual yang memaparkan harga rumah, pinjaman (90%), dan bayaran ansuran bulanan pinjaman berdasarkan pendapatan anda.
Jadual ini berdasarkan andaian yang anda tidak mempunyai komitmen seperti kad kredit, hutang pinjaman peribadi, dan kemudahan kredit yang lain yang akan memberi kesan pada nisbah khidmat hutang (DSR).
Lihat juga: Ketahui langkah pengiraan Nisbah Khidmat Hutang (DSR)
Biasanya, anda boleh memohon pinjaman peribadi sebanyak 90% dari nilai rumah tersebut selagi kadar DSR anda dibawah 50% selepas mengambil kira semua komitmen hutang. Jadi, pastikan anda kemaskini pendapatan bersih untuk ketahui kebarangkalian permohonan pinjaman anda diluluskan ataupun tidak.
Perbandingan Harga Rumah vs Pendapatan
Pendapatan Yang Diperlukan Untuk Mampu Beli Rumah |
||||
Harga Rumah (RM) | Pinjaman (90%) | Tempoh (Tahun) | Ansuran Bulanan (RM) (Berdasarkan kadar faedah antara 4.5% - 5.1%) | Pendapatan Minima (RM) |
100,000 | 90,000 | 30 | 490 | 2,000 |
200,000 | 180,000 | 30 | 935 | 3,000 |
300,000 | 270,000 | 30 | 1,368 | 3,500 |
400,000 | 360,000 | 30 | 1,824 | 5,000 |
500,000 | 450,000 | 30 | 2,280 | 6,000 |
600,000 | 540,000 | 30 | 2,736 | 7,500 |
700,000 | 630,000 | 30 | 3,192 | 8,500 |
Jika anda lihat jadual diatas, ansuran bulanan biasanya sekitar 30% dari pendapatan bulanan anda. Ini memastikan anda memiliki pendapatan yang cukup untuk memenuhi tanggungjawab dan keperluan kewangan anda seperti simpanan, pelaburan, ansuran kereta, dan persaraan.
Berdasarkan kadar faedah semasa pasaran, iatu antara 4.2% - 4.4% setahun, untuk pinjaman perumahan, anda perlu memperuntukkan sekurang-kurangnya RM1,760 sebulan untuk tempoh 30 tahun yang akan datang bagi membiayai pinjaman 90% untuk membeli rumah berharga RM400,000.
Dengan inflasi gaya hidup serta peningkatan gaji yang perlahan, hasrat membeli rumah ini mungkin akan jadi sekadar impian sahaja. Buktinya yang lebih terperinci, 1 dari 2 siswazah yang diambil bekerja di Malaysia dibayar gaji kurang dari RM2,000 sebulan dan kadar pengangguran belia di Malaysia mencecah paras 10.7%, 3 kali ganda dari kadar global.
Mengambil kira situasi semasa di Malaysia, termasuk purata DSR, Bank Negara merumuskan dalam Laporan Tahunan 2016 bahawa:
- individu berpendapatan RM3,000 sebulan mampu membiayai pembelian rumah sehingga RM176,000
- individu berpendapatan RM5,000 mampu membiayai pembelian rumah sehingga RM283,000
- individu berpendapatan RM10,000 mampu membiayai pembelian rumah sehingga RM515,000.
Laporan tersebut turut memaklumkan yang hanya 35% rumah baru di pasaran mampu dimiliki, dengan lebihan rumah berharga melebihi RM500,000.
Berapakah Bayaran Pendahuluan yang Perlu Dibayar?
Jumlah Bayaran Pendahuluan | ||||
Harga Rumah (RM) | Bayaran Pendahuluan (10%) | Perjanjian Jual Beli & Perjanjian Pinjaman (Kos Guaman, RM) | Duti Setem (RM) | Jumlah Bayaran Pendahuluan (RM) |
100,000 | 10,000 | 6793 | 1450 | 18,243 |
200,000 | 20,000 | 8,807 | 3,900 | 32,707 |
300,000 | 30,000 | 10,895 | 6,350 | 47,425 |
400,000 | 40,000 | 13,004 | 8,800 | 61,804 |
500,000 | 50,000 | 15,114 | 11,250 | 76,364 |
600,000 | 60,000 | 16,918 | 14,700 | 91,618 |
700,000 | 70,000 | 18,605 | 18,150 | 106,755 |
Jika ini merupakan rumah pertama anda, mungkin anda perlu menyediakan wang tunai sekurang-kurangnya 20% dari harga rumah tersebut sebagai bayaran pendahuluan. Selain kos di jadual diatas, bayaran tambahan perlu dibuat untuk:
- Insurans gadai janji tempoh sekurang-kurangnya RM1,000
- Kos ubah suai – minima RM20,000
Sesetengah pemaju akan menanggung kos duti setem (yang akan menjimatkan sedikit bajet anda), tetapi kami nasihatkan anda bandingkan dahulu pinjaman gadai janji yang ditawarkan sebelum membuat keputusan. Dengan ini, anda boleh memilih pinjaman yang terbaik, kerana penjimatan beberapa peratus sekalipun merupakan nilai yang besar.
Langkah Terbaik untuk Membiayai Bayaran Pendahuluan
Jika anda telah menemui rumah idaman yang ingin dibeli, jangan risau sekiranya simpanan anda tidak mencukupi untuk membiayai bayaran pendahuluan. Terdapat banyak alternatif yang boleh bantu untuk mencapai impian anda membeli rumah:
- Pinjaman Peribadi dengan Kadar Faedah yang Rendah
Jika anda memiliki rekod kredit yang bersih, anda berpeluang tinggi untuk memohon kadar faedah yang rendah untuk pinjaman peribadi dari bank. Proses kelulusan juga akan lebih cepat jika anda mempunyai akaun simpanan di bank tersebut. Selepas menentukan tempoh bayaran, kadar faedah, serta ansuran bulanan, anda boleh melangsaikan bayaran pinjaman peribadi sebelum mula membayar pinjaman perumahan dalam tempoh 2 hingga 3 tahun. Anda juga boleh memohon pinjaman peribadi yang membolehkan anda melangsaikan bayaran lebih awal tanpa dikenakan sebarang caj.
Bandingkan pinjaman peribadi terbaik untuk membantu anda disini!
- Pengeluaran akaun 2 KWSP
Anda boleh memilih untuk mengeluarkan simpanan dari akaun 2 KWSP untuk membiayai bayaran pendahuluan dengan syarat:
- Anda membeli rumah kediaman
- Permohonan pinjaman telah diluluskan bank
- SPA telah ditandatangani tetapi tidak lebih dari 3 tahun
- Tidak pernah membuat pengeluaran untuk membeli rumah sebelum ini
Ketahui langkah untuk mengeluarkan simpanan KWSP bagi membuat pembelian rumah disini.
- Pelan EPP 0% (Kad Kredit)
Jika jumlah yang perlu dibiayai adalah sedikit, anda boleh menghubungi bank untuk menggunakan kemudahan bayaran ansuran tanpa faedah (EPP 0%) menggunakan kad kredit. Contoh, jika anda hanya tinggal RM6,000 sahaja lagi untuk bayaran pendahuluan dan kos sampingan, gunakan pelan EPP kad kredit, atau mohon pelan pindahan baki 0% dengan kad kredit Maybank ini.
Lihat juga: Apakah kelebihan pelan ansuran EPP?
Tips untuk Membiayai Pembelian Rumah Tanpa Kesan Besar Pada Kewangan Anda
- Gunakan Skim Rumah Pertama
Skim Rumah Pertama dan PR1MA merupakan inisiatif kerajaan untuk membantu golongan muda Malaysia untuk membeli rumah di negara ini.
Skim Rumah Pertama menawarkan:
- Pembiayaan 100%; tidak perlu membuat bayaran pendahuluan 10%
- Peminjam persendirian perlu memiliki pendapatan kasar tidak lebih dari RM5,000 sebulan, dan peminjam bersama perlu memiliki jumlah pendapatan kasar tidak lebih dari RM10,000 sebulan (berdasarkan pendapatan kasar maksima RM5,000 sebulan seorang)
- Nilai hartanah antara RM100,000 hingga RM400,000
- Perlu mendiami rumah selepas pembelian
- Tempoh pembiayaan tidak lebih dari 40 tahun, atau tidak melebihi 65 tahun bagi umur peminjam
- Ansuran boleh dibayar melalui potongan gaji
- Perlindungan Takaful dan insurans kebakaran WAJIB
- Untuk tujuan pelunasan sahaja, tanpa ciri-ciri pengeluaran
PR1MA pula khusus untuk:
- Rakyat Malaysia (individua atau keluarga) dengan jumlah pendapatan isi rumah RM2,500 - RM7,500 sebulan
- Mereka yang tidak memiliki lebih dari satu rumah
- Tempoh moratorium 10 tahun. Dalam tempoh ini, rumah tidak boleh dijual, atau dipindah pemilik tanpa mendapat persetujuan PR1MA
- Perlu mendiami rumah selepas pembelian
- Jangan keluarkan simpanan KWSP kecuali anda benar-benar terdesak
Jika peruntukan anda untuk membayar wang pendahuluan telah cukup, JANGAN gunakan simpanan KWSP kerana ia bertujuan untuk persaraan anda. Jika tidak, anda mungkin tidak dapat menikmati dividen dengan purata 5-6% setahun. Kami cadangkan anda mula menyimpan sekiranya berhasrat untuk membeli rumah supaya bayaran pendahuluan boleh dibiayai tanpa sebarang kos tambahan.
- Penggunaan kad kredit yang bijak boleh membantu
Memiliki kad kredit serta menggunakannya dengan berhemah (tidak berbelanja melebihi kemampuan, membuat bayaran tertunggak sepenuhnya) akan menggambarkan anda seorang peminjam yang berkualiti tinggi. Secara umumnya, bank akan menawarkan kadar faedah lebih rendah untuk peminjam yang memiliki rekod bayaran bersih berbanding mereka yang langsung tidak memiliki rekod kredit. Ini kerana bank mengkategorikan peminjam tanpa rekod sebagai berisiko tinggi kerana tiada penanda aras yang boleh digunakan untuk membuat penilaian.
Mohon kad kredit asas tanpa yuran tahunan disini untuk bina rekod kredit anda segera!