Bersikap sambil lewa terhadap pembayaran balik pinjaman PTPTN anda? Dalam satu temuramah bersama Timbalan Ketua Eksekutif PTPTN, Mastura Mohd Khalid, beliau menghuraikan apa yang akan terjadi kepada peminjam PTPTN yang tidak membayar pinjaman mereka dan berkongsi penyelesaian bagi peminjam yang menghadapi masalah pembayaran balik.
Setiap tahun, PTPTN memperuntukkan RM 5 bilion untuk menyediakan dana pendidikan bagi rakyat Malaysia. Setakat 29 Februari 2016, badan ini menjangkakan mereka bakal mengutip RM15.8 bilion dari peminjam. Tetapi, hanya RM7.9 bilion pembayaran balik diterima. Ini bermaksud terdapat sejumlah RM7.9 bilion pinjaman tertunggak yang masih belum dibayar oleh peminjam.
Mastura menyatakan bahawa, “terdapat lebih kurang 600,000 peminjam PTPTN yang masih belum melakukan sebarang pembayaran bagi pinjaman mereka”
Berikut adalah tindakan yang akan diambil terhadap peminjam yang tidak membuat bayaran balik atau mempunyai tunggakan pinjaman PTPTN:
Akibat jika anda tidak membuat bayaran balik pinjaman PTPTN
Laporan kredit anda akan terjejas
Anda akan disenarai hitam di laporan CCRIS, dan ini akan menyebabkan kualiti laporan kredit anda terjejas. Akibatnya, anda akan menghadapi kesukaran sekiranya anda ingin memohon pinjaman dari bank. Ini kerana melalui laporan CCRIS pihak bank boleh mengetahui anda mempunyai corak pembayaran pinjaman yang tidak konsisten dan anda telah disenarai hitam.
Selagi anda tidak melakukan pembayaran konsisten untuk pinjaman PTPTN, anda akan menghadapi kesukaran untuk memohon pinjaman serta mendapatkan kad kredit dari pihak bank.
Anda tidak boleh ke luar negara
Penerima pinjaman akan disenarai hitam oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) jika tidak membuat bayaran balik atau mempunyai tunggakan. Implikasinya, anda bakal dihalang daripada ke luar negara, tidak boleh memperbaharui pasport atau memohon passport baru.
“Terdapat kes dimana peminjam menghubungi kami (PTPTN) setelah mereka sedar bahawa mereka dihalang untuk ke luar negara apabila berada di kaunter imigresen di lapangan terbang. Namun apabila kami meminta mereka melakukan pembayaran supaya dilepaskan dari sekatan ke luar negara, mereka mampu untuk lakukan pembayaran tersebut,” kata Mastura.
Peminjam PTPTN dinasihatkan untuk melangsaikan tunggakan pembayaran pinjaman bagi mengelak sekatan di lapangan terbang atau pintu sempadan negara. Sekiranya terdapat tunggakan, mereka perlu melakukan pembayaran atau berunding dengan pihak PTPTN 7 hari sebelum ke luar negara.
Anda akan didakwa di mahkamah
Pihak PTPTN akan mengeluarkan dua notis peringatan bayaran balik dan juga notis tuntutan sekiranya anda tidak membuat bayaran balik. Sekiranya anda masih tidak melakukan pembayaran atau melakukan sebarang rundingan, PTPTN akan mendakwa anda di mahkamah. Sehingga tarikh 29 Februari 2016, terdapat 115,279 peminjam PTPTN yang telah didakwa di mahkamah dengan jumlah pinjaman terunggak sebanyak RM9.8juta.
Baca juga: Urus Hutang Anda Secara Percuma Bersama AKPK
Menghadapi masalah melakukan pembayaran balik?
Ujrah
Sekiranya anda masih belum bertukar kepada Ujrah, lakukan pertukaran tersebut. Semua pinjaman yang telah diluluskan selepas Disember 2008 adalah dibawah polisi Ujrah, tetapi bagi peminjam sebelum tarikh tersebut mereka dibawah polisi konvensional. Kadar faedah bagi polisi konvensional adalah sebanyak 3%, manakala kadar faedah polisi Ujrah ialah 1%.
“Jika peminjam melakukan pembayaran secara berterusan, mereka boleh mendapat penjimatan sebanyak 49% untuk kos pembayaran balik pinjaman mereka dengan pertukaran ke polisi Ujrah.” kata Mastura. Walaupun potongan gaji bagi pembayaran balik dibawah polisi Ujrah tidak wajib tetapi ia sangat digalakkan.
Berunding Dengan Pihak PTPTN
“Kami terbuka kepada perundingan. Sekiranya peminjam menghadapi masalah dengan komitmen kewangan yang banyak, mereka boleh hadir ke PTPTN untuk penstrukturan atau penjadualan semula bayaran balik pinjaman mereka. Kami menawarkan jumlah bayaran balik serendah RM50 sebulan” kongsi Mastura.
Pihak PTPTN juga memberi penangguhan pembayaran balik selama 2 tahun, tetapi dalam jangka masa 6 bulan bagi setiap permohonan pengangguhan yang dilakukan.
Sekiranya peminjam mula melakukan pembayaran 6 bulan selepas tamat pengajian, mereka boleh mendapat penjimatan kerana dalam jangka masa 6 bulan tersebut pembayaran balik tidak dikenakan kadar faedah. Maka mereka boleh mengurangkan pembayaran balik kerana baki yang akan dikenakan kadar faedah 1% selepas 6 bulan telah berkurangan.
Mastura menasihati peminjam PTPTN untuk melakukan pembayaran balik pinjaman kerana dana diperlukan untuk generasi masa depan. Pihak PTPTN menerima permohonan lebih kurang 200,000 peminjam setiap tahun, maka kitaran wang positif amat penting untuk menyediakan dana pendidikan yang mapan. Mastura memberi peringatan kepada peminjam PTPTN bahawa “adik-beradik ataupun anak anda boleh tergolong dalam generasi masa depan tersebut”.
Ingin ketahui bagaimana anda boleh berjimat? Bandingkan kad kredit terbaik secara percuma di CompareHero.my dan ambil kesempatan daripada diskaun dan rebat tunai untuk jimat lebih wang apabila anda berbelanja.
Baca juga: Tindakan Terhadap Penghutang Yang Tidak Mampu Bayar Pinjaman Bank