Perkembangan terkini menyaksikan Malaysia bakal menuju kerarah masyarakat tanpa tunai secara menyeluruh menjelang tahun 2050. Walaupun tarik itu masih 32 tahun lagi, platform pembayaran digital di Malaysia berkembang pesat bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Setakat ini, negara yang menggalakkan pembayaran tanpa tunai ialah Singapura, Belanda, dan Perancis. Ia juga mendapat sambutan yang menggalakkan di China dan India.
Perkembangan teknologi peranti mudah alih telah menyokong bagaimana kita berkomunikasi dan berhubung, dan menjadi salah satu faktor penerimaan dan penggunaan pembayaran digital. Ini terutamanya dari segi jual beli serta perbankan. Namun, penerimaan platform pembayaran digital ini masih dalam fasa awal, satu kaji selidik dari Nielsen menunjukkan 78% rakyat Malaysia menggunakan peranti mudah alih untuk melayari media sosial, dan hanya 34% menggunakannya untuk membeli barang atau perkhidmatan. Statistik ini memberi gambaran bahawa kadar pengambilan masih rendah untuk platform pembayaran digital di Malaysia. Kadar penerimaan yang rendah ini juga dari isu masyarakat kurang yakin tentang keselamatan platform pembayaran digital. Sebanyak 72% rakyat Malaysia beranggapan bergitu dari kajian yang dijalankan.
Tetapi, kenyataan dari Bank Negara Malaysia ini memberi gambaran yang persediaan rapi bakal dibuat untuk menjana Malaysia kearah masyarakat tanpa tunai, kerana ianya akan memupuk ekonomi yang lebih cekap.
“Ia merupakan agenda Bank untuk menggalakkan penghijrahan institusi kewangan kearah pembayaran elektronik bagi mencapai kesan penjimatan kos dan faedah positif untuk sistem pembayaran di negara ini.” – Bank Negara Malaysia
Manakala Menteri Belia dan Sukan, YB Khairy Jamaluddin pula berkata,
“Kita tidak dapat lari dari hakikat bahawa penggunaan tunai serta kaedah pembayaran dan jual beli akan berubah di masa hadapan, ia akan menjadi tanpa tunai dan tanpa sentuh.”
Kami telah kumpulkan senarai platform pembayaran digital yang telah dan akan dilaksanakan di Malaysia. Namun, mari kita fahami dahulu konsep pembayaran digital.
Apa Itu Pembayaran Tanpa Tunai?
Teknologi pembayaran digital yang juga dikaitkan dengan pembayaran tanpa tunai masih lagi sesuatu yang asing di Malaysia. Ia juga dikenali sebagai pembayaran nirtunai. Oleh kerana ia masih agak baharu, pemahamam konsep ini akan membantu anda untuk menggunakanannya dengan lebih bijak.
Bayaran biasanya dibuat menggunakan instrumen pembayaran. Contohnya, wang tunai atau cek. Dalam kes ini, pembayaran digital bukan satu instrumen, sebaliknya satu istilah umum yang meliputi instrumen-instrumen pembayaran berbeza. Terdapat pelbagai instrumen pembayaran digital, antaranya ialah:
- Dompet elektronik
- Perbankan internet
- Pindahan dana elektronik
- Sistem tunai elektronik
- Sistem simpanan nilai dalam talian
|
9 Platform Pembayaran Digital di Malaysia
Vcash
Platform pembayaran digital tempatan ini dari digi ini membolehkan pembayaran dibuat dengan mengimbas kod QR. Bukan itu sahaja, pengguna juga boleh membuat pindahan wang ke JomPay dan Perbankan Dalam Talian, dan membuat permintaan dana. Ianya boleh dibuat kepada sesiapa sahaja yang memiliki nombor telefon Malaysia yang bedaftar. Namun, terdapat had yang dikenakan untuk pindahan, iaitu RM50 untuk pengguna Enchanced dan RM1,000 untuk pengguna Premium. Akses ini tidak diberikan kepada pengguna Basic. Malah, pengguna juga boleh melayari kedai online Vcash dan boleh membeli tambah nilai prabayar atau membayar bill.
Setakat ini, servis bayaran Vcash boleh digunakan di Tony Roma, Fish & Co, A Pie Thing dan Manhattan Fish Market. Senarai penuh kedai-kedai yang menerima penggunaan platform ini boleh dirujuk di aplikasi Vcash, dan akan ditambah dari semasa ke semasa. Dengan aplikasi khusus untuk platform Android dan iOs, anda gunakannya secara percuma, tanpa perlu memastikan jumlah minimum untuk mengaktifkan akaun anda.
Samsung Pay
Samsung Pay menggunakan teknologi Magnetic Secure Transmission (MST) dan Near Field Communication (NFC) untuk memastikan proses pindahan dan pembayaran digital yang lebih selamat. NFC berfungsi dengan menyentuh peranti anda ke terminal bayaran, manakala MST pula merupakan teknologi lama yang akan mengesan isyarat magnetik, sama seperti jalur magnetik dibelakang kad anda.
Sebagai permulaan, anda perlu menggunakan peranti yang sesuai dengan aplikasi Samsung Pay, iaitu:
- Galaxy S6 Edge+
- Galaxy S7 atau Galaxy S7 Edge
- Galaxy Note 5
- Galaxy A7 (model tahun 2016 dan 2017)
- Galaxy A5 (model tahun 2016 dan 2017)
Muat turun aplikasi tersebut di peranti anda dan daftarkan cap jari anda yang bakal menjadi sistem pengesahan untuk keselamatan dan menawarkan perlindungan tertinggi. Selepas itu, kamera akan dilancarkan untuk mengimbas kad debit atau kredit anda. Jika ianya tidak berfungsi, anda boleh mendaftarkan maklumat kad kredit anda secara manual. Semak semula untuk memastikan maklumat seperti nama, nombor kad, dan tarikh luput adalah tepat. Bergantung kepada persetujuan dengan bank, anda perlu membuat pengesahan dengan menggunakan kod yang dihantar ke SMS.
Bank yang Disokong | Kredit | Debit | Prabayar | |
Citibank | Mastercard | ✔ | ||
Visa | ✔ | |||
Standard Chartered | Mastercard | ✔ | ||
Visa | ✔ | |||
Maybank | Visa | ✔ | ✔ | ✔ |
CIMB | Mastercard | ✔ |
Anda boleh mendaftar kad-kad dari bank diatas untuk menggunakan Samsung Pay. Jangan risau jika kad anda tidak tersenarai kerana Samsung bakal mengemas kini senarai bank dan outlet yang menerima penggunaan platform ini.
Alipay
Alipay merupakan platform Dompet Elektronik dan bertindak selaku platform selamat untuk pengguna menyimpan dana bagi berbelanja dalam talian. Secara tidak langsung, ia menjadi salah satu servis pembayaran nirtunai untuk pengguna. Dikendalikan oleh Ant Financial Services Group di Malaysia, servis bayaran online pihak ketiga ini dilancarkan di China pada tahun 2004 oleh pengasas Alibaba Group, Jack Ma. Sehingga kini, Alibaba telah menjadi platform pembayaran mudah alih terbesar di China dengan 450 juta pengguna aktif.
Servis pembayaran Alipay kini boleh digunakan di lebih 110,000 kedai di seluruh dunia dan disokong oleh 70 pasaran antarabangsa. Dalam skala global, terutamanya di China, Alipat digunakan untuk membayar tambang teksi, menempah hotel, membeli tiket wayang, dan membuat temujanji doctor. Di Malaysia, Alipay telah bekerjasama dengan Maybank dan CIMB untuk mengembangkan penggunaan aplikasi ini.
Untuk menggunakan aplikasi Alipay, anda perlu mendaftar untuk membuka akaun. Di Malaysia, Maybank, CIMB, dan Public Bank menawarkan servis pembayaran nirtunai yang bakal bertindak menjadi pengantara aplikasi Alipay. Pembeli perlu mendaftar sebelum membuat bayaran. Di laman bayaran, pilih Alipay sebagai platform pembayaran dan pembeli bakal diarahkan ke laman web Alipay untuk langkah seterusnya.
7-Eleven merupakan outlet pertama di Malaysia yang menerima pembayaran menggunakan platform Alipay sepenuhnya di semua 2,100 cawangan mereka. Dari industri perhotelan pula, ianya dipelopori oleh Resort World Genting dengan kerjasama CIMB. Setakat ini, pengguna boleh menggunakan Alipay hanya di outlet F&B, stesen Awana Skyway, stesen SkyAvenue, dan Indoor Theme Park (SnowWorld, Bowling Centre dan Vision City). Alipay turut diterima di 242 cawangan Starbucks seluruh Malaysia.
Visa Checkout
Platform ini bakal memudahkan pengalaman pebelian dalam talian anda dengan menyimpan maklumat seperti alamat penghantaran, dan maklumat kad prabayar, debit, dan kredit Visa anda. Dengan memiliki akaun Visa Checkout, setiap kali anda di halaman bayaran, pilih Visa Checkout untuk membayar. Memandangkan semua maklumat bayaran telah disimpan di akaun anda, anda tidak perlu mengisi apa-apa maklumat lagi.
Salah satu ciri terbaik Visa Checkout ialah ianya percuma dan boleh digunakan oleh semua kad debit atau kredit, bukan sahaja dari Visa. Ini termasuklah Amex dan Mastercard. Ianya juga boleh digunakan di pelbagai peranti, dari laptop hinggalah ke telefon anda.
Visa Checkout boleh digunakan di pedagang-pedagang dalam talian di Malaysia, termasuklah Golden Screen Cinemas, Malindo Air, Superbuy.my, dan lebih dari 200 pedagang yang lain.
Masterpass
Anda kini boleh menyimpan maklumat semua kad debit, kredit, prabayar, malah kad kesetiaan juga boleh menggunakan Masterpass. Seperti Visa Checkout, platform ini turut menerima kad yang bukan diisukan oleh Mastercard. Anda juga hanya perlu mendaftar sekali sahaja maklumat kad dan alamat. Dengan ini, anda tidak perlu lagi ke halaman maklumat pembayaran setiap kali membuat pembelian dalam talian di outlet yang memiliki pilihan Buy with Masterpass.
Untuk fungsi keselamatan tambahan, Masterpass menawarkan pilihan untuk pengguna bagi menerima kod keselamatan setiap kali pembelian dibuat. Caj hanya akan ddikenakan oleh rangkaian anda sahaja.
Paypal
Buat pembelian dan rekod perbelanjaan anda menggunakan Paypal. Anda perlu mendaftar akaun Paypal terlebih dahulu dan rangkaikannya ke kad kredit atau debit anda. terdapat 3 jenis akaun Paypal: Peribadi, Premier dan Perniagaan. Jika anda ingin gunakannya untuk tujuan peribadi, akaun peribadi adalah sesuai untuk anda kerana ianya percuma. Tiada caj yang dikenakan untuk setiap transaksi melalui baki Paypal atau eChecks, sejenis pembayaran meggunakan akaun bank anda. Jika pindahan atau bayaran dibuat menggunakan kad debit atau kredit, caj transaksi akan dikenakan.
Semasa membuat pembelian menggunakan Paypal, anda diberi pilihan untuk membuat bayaran dengan baki Paypal ataupun kad. Baki Paypal memerlukan anda untuk menambah nilai melalui akaun anda. Pilihan ini adalah sesuai bagi pelanggan yang tidak mahu merangkaikan kad kedit atau debit mereka ke akaun Paypal. Jika baki tidak mencukupi, caj selebihnya akan dikenakan keatas kad, ataupun tambah nilai perlu dibuat. Setakat ini, ianya hanya boleh dilakukan melalui akaun RHB sahaja.
Selain itu, Paypal turut memperkenalkan servis Buyer Protection untuk melindungi pengguna semasa membuat transaksi. Contohnya, anda dicaj walaupun tiada pembelian dibuat ataupun anda tidak menerima barangan yang dibeli dalam tempoh yang ditetapkan. Anda boleh menerima bayaran balik, cuma pastikan aduan dibuat dalam tempoh 180 hari serta menepati terma dan syarat yang dikenakan.
CIMB Pay
CIMB Pay akan memudahkan anda untuk membuat bayaran dan menjadikan telefon pintar anda sebagai e-Dompet. Aplikasi ini boleh dirangkaikan ke kad debit atau kredit CIMB. Pembayaran yang lebih selamat kini boleh dibuat dihujung jari sahaja! Bukan itu sahaja, ia akan turut mengiklankan tawaran-tawaran istimewa dari CIMB.
Bagaimana CIMB Pay berfungsi:
Bayaran di kedai:
- Muat turun dan lancarkan aplikasi CIMB Pay. Dekatkan telefon pintar ke terminal pembayaran.
- Sahkan menggunakan kata laluan atau cap jari.
- Sentuh telefon ke terminal pembayaran untuk melengkapkan urusniaga.
Bayaran secara online:
- Di halaman pembayaran, klik butang Masterpass.
- Masukkan email dan pilih CIMB Pay.
- Pilih kad yang ingin digunakan serta alamat penghantaran.
- Sahkan maklumat dan lengkapkan urusniaga.
WeChat Pay
Tahukah anda, terdapat lebih kurang 20 juta pengguna WeChat di Malaysia. Jumlah ini amat memberangsangkan jika dibandingkan dengan jumlah keseluruhan rakyat Malaysia seramai 31 juta orang. Dilancarkan pada tahun 2011, WeChat Pay menawarkan platform pembayaran digital yang pantas dan selamat untuk pengguna. Ia kini menjadi antara platform pilihan di China.
Pengguna aplikasi WeChat di Malaysia kini boleh bergembira kerana platform WeChat Pay dikatakan akan dilancarkan pada awal tahun 2018. Dengan ini, pengguna boleh merangkaikan akaun bank mereka dengan WeChat Pay dan boleh membuat bayaran. Antara bank yang menawarkan kerjasama termasuklah Hong Leong Bank yang menawarkan platform pembayaran menggunakan WeChat Pay. Kerjasama ini membolehkan Hong Leong Bank memudahkan peniaga untuk menerima bayaran melalui platform digital ini.
MOLPay
Sesuai untuk pengguna yang tidak kad debit/kredit, akaun perbankan internet, dan pernah ditipu untuk membuat bayaran di pelbagai cawangan 7-Eleven seluruh Malaysia. Namun, anda masih perlu berkunjung ke cawangan tersebut untuk membuat bayaran. Berdasarkan pemerhatian, servis MOLPay popular dalam kalangan anak muda yang tidak layak menggunakan kad kredit, namun ingin membuat pembelian online. Dengan ciri-ciri ini, ianya masih belum memiliki fungsi nirtunai sepenuhnya.
GrabPay
Sewaktu awal-awal pelancarannya, servis ini khusus untuk pengguna membuat pembayaran nirtunai bagi penggunaan Grab menggunakan kad debit atau kredit. Kini setelah dikemaskini, platform GrabPay boleh digunakan untuk pembayaran lain juga. Grab bakal melancarkan penjenamaan semula platform ini setelah mendapat kelulusan dari Bank Negara.
TaPay
Akhir sekali, kami ingin perkenalkan antara platform terbaru yang mendapat perhatian. Dilancarkan oleh syarikat fintech tempatan dengan kerjasama Affin Bank Bhd and Cyberview Sdn Bhd, TaPay belum lagi mendapat kelulusan Bank Negara Malaysia untuk beroperasi dan masih dalam fasa percubaan. Nantikan maklumat tekini daripada kami.
Antara faktor utama yang bakal menjadikan platform ini berjaya dan lebih digemari termasuklah sejauh mana ianya lebih selamat, cepat, dan murah berbanding instrument pembayaran sedia ada. Dengan penerimaan terkini dari rakyat Malaysia yang mengutamakan keselamatan, kesedaran dan maklumat mengenai penggunaan pembayaran perlu disebarkan meluas bagi memaksimakan penerimaan. Siapa tahu, dalam tempoh 10 tahun, pembayaran secara tunai mungkin akan menjadi konsep yang dianggap kuno.