Tahukah anda ramai rakyat Malaysia meminjam wang dari membuat simpanan? Ketahui jenis simpanan yang anda perlu ada dan kepentingannya.
Laporan ‘The State of Households II’ dari Institut Kajian Khazanah menyatakan statistik yang merisaukan – hanya 10.8% isi rumah di Malaysia mempunyai keupayaan menyara diri sekiranya berhadapan dengan kehilangan sumber pendapatan atau berhadapan dengan krisis kewangan. Dengan populasi 31.76 juta orang, itu hanya sekadar hampir 343,000 isi rumah! Dengan keadaan pasaran kerja yang tidak menentu, ia amat penting untuk anda sediakan payung sebelum hujan.
3 Sebab Anda MESTI Mula Menyimpan Wang Sekarang
Kerana kebanyakan rakyat malaysia berbelanja melebihi kemampuan
Secara ringkasnya, rakyat Malaysia tidak menyimpan wang yang mencukupi. Laporan diatas menunjukkan simpanan isi rumah di kalangan rakyat Malaysia sangat rendah. Isi rumah dengan pendapatan yang rendah pula tidak mempunyai kedudukan kewangan yang stabil. Lebih membimbangkan ialah trend hutang isi rumah tidak menunjukkan sebarang penurunan. Malah, Malaysia merupakan antara negara dengan hutang isi rumah tertinggi di rantau ini, dengan bahagian besar dari hutang tersebut terdiri dari pinjaman rumah.
Ini bermakna rakyat Malaysia telah mengumpul hutang dan berbelanja melebihi kemampuan berbanding menyimpan wang. Golongan berpendapatan rendah mungkin mengalami situasi ini kerana amat sukar untuk menyediakan simpanan apabila kos sara hidup semakin tinggi, dengan GST serta nilai ringgit yang rendah. Tetapi bagi yang mampu menyimpan seharusnya bersyukur dan segera mula menyimpan wang.
Kerana harga barang akan menjadi semakin mahal
Pada Januari 2016, kadar inflasi dilaporkan mencecah 3.5%, iaitu antara yang kadar yang tertinggi di Malaysia sejak 2 tahun yang lepas. Kadar inflasi bermakna kenaikan harga barang dimana anda akan dapat beli lebih sedikit barang dengan nilai wang yang sama pada masa hadapan. Sebagai contoh, anda boleh sekeping roti canai pada harga RM0.50 pada tahun 2005. Namun, 10 tahun kemudian anda mungkin perlu membayar hampir 2 kali ganda untuk makanan yang sama.
Laporan Khazanah tersebut turut menyatakan harga makanan telah menjadi semakin mahal. Bagi isi rumah berpendapatan kurang dari RM 2,000 sebulan, mereka membelanjakan 38.5% dari pendapatan setiap bulan untuk makanan, iaitu hampir separuh dari pendapatan mereka! Oleh kerana kita tidak mampu mengelak kesan inflasi, memiliki simpanan sangat penting sebagai persediaan menghadapi kenaikan kos hidup.
Tetapi, simpanan sahaja tidak mencukupi. Jika anda menyimpan dalam akaun yang memberikan kadar pulangan yang lebih rendah dari kadar inflasi semasa, anda sebenarnya akan rugi. Jadi, anda perlu bijak semasa menyimpan wang dengan mencari akaun simpanan atau pelaburan dengan pulangan yang lebih tinggi dari kadar inflasi semasa supaya anda boleh dapatkan pulangan lebih tinggi untuk simpanan tersebut.
Sebagai persediaan untuk persaraan
“Malaysia sedang menuju ke arah ‘aging nation’ akibat dari peningkatan jangka hayat serta kadar kesuburan yang menurun. Menyediakan sumber kewangan untuk golongan tua serta mengurangkan perbelanjaan yang diperlukan untuk penjagaan kesihatan bakal menjadi cabaran utama pada masa akan datang” -petikan dari ‘The State of Household Report II’ , Institut Kajian Khazanah
Kita dijangka hidup untuk lebih lama oleh itu membuat simpanan seawal mungkin semakin penting. Data dari laporan tersebut menunjukkan bayi perempuan yang lahir pada 2015 akan memiliki jangka hayat sehingga umur 77.4 tahun, manakala bayi lelaki pula sehingga umur 72.5. Ini merupakan peningkatan jangka umur bayi perempuan yang lahir pada tahun 1970 yang hanya dijangka hidup sehingga usia 65.5 manakala bayi lelaki dijangka hidup sehingga umur 61.6.
Jika anda bersara pada usia 55 tahun, anda mungkin akan melalui 15 tahun persaraan. Persoalannya, adakah anda mempunyai dana yang cukup tanpa sebarang sumber pendapatan dan hanya berharap pada simpanan KWSP?
Selain dari menyara hidup, anda juga perlu mengambil kira perbelanjaan untuk makanan, bil, pengangkutan, penjagaan kesihatan dan lain-lain. Sesetengah rakyat Malaysia mungkin tidak mampu menyara hidup mereka setelah bersara kerana menurut laporan tersebut, satu dari 5 ahli KWSP yang menghampiri usia persaraan memiliki kurang dari RM 10,000 dalam akaun KWSP mereka.
Rakyat Malaysia perlu mengutamakan simpanan persaraan untuk memastikan mereka boleh melalui persaaan yang selesa. Ini kerana nampak gaya golongan kini akan hidup lebih lama daripada golongan terdahulu, oleh itu kita akan perlukan wang lebih untuk menampung jangka masa hidup yang lebih lama.
Jenis Simpanan Yang Perlu Anda Miliki
Bayangkan simpanan anda dalam 3 kategori utama iaitu simpanan untuk jangka pendek, simpanan jangka sederhana, dan simpanan jangka masa panjang. 3 jenis simpanan ini dikelaskan berdasarkan fasa dalam hidup anda dan bakal menyiapkan anda untuk berhadapan dengan pelbagai situasi yang tidak dijangka, dari kehilangan pekerjaan yang tidak dijangka, kenaikan kadar faedah, kemalangan, dan sebagainya.
Tabung simpanan kecemasan
Kadangkala, kita bakal berhadapan dengan situasi yang tidak dijangka; kenderaan perlu dibaiki, ahli keluarga atau diri sendiri perlu rawatan kecemasan dan kita tidak mendapatakan perlindungan insurans. Tanpa simpanan kecemasan, kewangan kita pasti akan berhadapan masalah.
Simpanan kecemasan ini perlu memiliki jumlah sekitar 3-6 bulan perbelanjaan bulanan anda. Namun anda perlu faham bahawa perbelanjaan bulanan dan gaji anda tidak semestinya memiliki jumlah yang sama. Jika anda tidak memiliki sebarang tanggungan, cuba menyimpan jumlah untuk 3 bulan perbelanjaan anda. Namun jika anda mempunyai tanggungan, anda seharusnya mempunyai jumlah simpanan yang cukup untuk 6 bulan perbelanjaan.
Cadangan: Buka akaun simpanan yang memberikan fleksibiti untuk anda mengeluarkan wang sekiranya berlaku kecemasan tetapi juga memberikan pulangan untuk simpanan anda. Antara akaun simpanan terbaik ialah akaun Hong Leong Premium Saving, OCBC Smart Savers, dan Maybank2u Savers.
Simpanan jangka pendek (1 – 5 tahun)
Simpanan bukan sahaja untuk tujuan kecemasan atau persaraan. Anda juga perlu ketepikan wang untuk matlamat jangka pendek atau hasrat peribadi, conthonya seperti hadiah, percutian, perkahwinan, atau deposit rumah.
Cadangan: Akaun deposit tetap (Fixed Deposit) akan memberikan pulangan yang lebih tinggi dari akaun simpanan biasa. Namun, akaun seperti ini biasanya akan meletakkan had untuk pengeluaran bergantung kepada tempoh yang dipersetujui iaitu antara 1-12 bulan.
Dana persaraan
Bergantung kepada simpanan KWSP anda sahaja tidak lagi mencukupi untuk persaraan kerana seperti yang telah dinyatakan diatas, 1 dari 5 ahli KWSP yang menghampiri usia persaraan memiliki kurang dari RM 10,000 dalam akaun mereka. Malah, hampir 50% pesara telah menggunakan kesemua wang simpanan mereka dalam tempoh 5 tahun selepas bersara. Jadi, rancanglah persaraan anda sejak dari awal lagi. Ini kerana kuasa faedah kompau boleh membantu untuk meningkatkan jumlah simpanan wang anda dengan hebat.
Lihat: Dapatkan RM1 juta melalui kadar faedah kompaun!
Cadangan: laburkan wang anda ke pelaburan yang berisiko rendah tetapi yang akan mendatangkan pulangan yang stabil. Antara contoh pelaburan yang boleh anda laburkan wang anda ialah Amanah Saham Bumiputera (ASB) atau Sijil Simpanan Premium dari BSN.
Ingat, simpanan kecemasan dan dana persaraan merupakan 2 tabung simpanan yang paling penting untuk anda sediakan. Jika anda menghadapi kesukaran untuk mengawal nafsu berbelanja, ingatlah yang ianya akan menyusahkan hidup anda jika anda tidak menyediakan simpanan.
Save
Save
Save
Save