Salah satu kewajiban umat islam yang cukup syarat pada bulan Ramadan ialah menunaikan zakat fitrah. Namun betul ke bukan semua layak dan perlu membayar zakat fitrah? Dan tahukah anda bahawa kadar bayaran zakat fitrah berbeza mengikut negeri?
Jom kita fahami lebih lanjut mengenai Zakat Fitrah.
Apa itu Zakat Fitrah?
Zakat fitrah ialah zakat yang wajib ke atas semua Muslim yang berkemampuan dengan syarat-syarat yang ditetapkan. Berikut ialah antara syarat wajib zakat fitrah:
- Islam dan merdeka (bukan hamba)
- Mempunyai harta yang lebih daripada perbelanjaannya dan keperluan tanggungannya pada malam dan pagi raya.
Sila rujuk pautan ini untuk fahami lebih lanjut mengenai syarat syarat yang mewajibkan zakat fitrah ke atas setiap individu Muslim.
Zakat fitrah juga berbeza dengan zakat pendapatan yang dikenakan keatas semua jenis sumber pendapatan bagi seorang muslim. Klik link ini untuk baca lebih lanjut berkenaan zakat pendapatan.
Kenapa perlu bayar zakat fitrah?
Zakat fitrah bertujuan membersihkan dan menyucikan jiwa mereka yang berpuasa daripada perkara yang sia-sia. Zakat fitrah ini akan digunakan untuk membantu fakir dan miskin membuat persiapan menyambut Hari Raya.
Bila perlu bayar zakat fitrah?
Zakat Fitrah perlu ditunaikan khusus di bulan Ramadan. Ia boleh dibayar sepanjang bulan Ramadan sehingga pagi 1 Syawal sebelum melaksanakan Solat Sunat Aidil Fitri.
Waktu terbaik untuk membayar zakat fitrah adalah sebelum solat sunat Aidil Fitri.
Kadar zakat fitrah 2022 mengikut negeri
Kadar Zakat Fitrah adalah bersamaan dengan segantang beras seberat 2.7kg atau senilai dengannya. Kadar ini akan diputuskan oleh Pihak Berkuasa Agama Negeri-Negeri.
Setiap negeri akan mengumumkan kadar Zakat Fitrah untuk tahun tersebut berdasarkan harga semasa beras tempatan. Jom semak rajah ini untuk mengetahui kadar zakat fitrah yang anda perlu bayar pada tahun ini:
Sesetengah negeri menetapkan tiga kadar zakat fitrah bergantung kepada beras jenis apa yang menjadi makanan harian individu tersebut.
Kadar yang terendah adalah untuk umat Islam yang menjadikan makanan hariannya dari beras jenis 'super special' tempatan dan setaraf dengannya. Untuk kadar yang sederhana pula adalah untuk mereka yang menggunakan beras jenis super import, beras perang, beras pulut, herba ponni, beras wangi dan setaraf. Dan kadar tertinggi pula adalah untuk umat Islam yang menjadikan makanan hariannya dari beras jenis basmati, beras Jepun, beras merah dan setaraf.
Namun sekiranya anda hanya ingin membayar kadar minima walaupun anda berkemampuan untuk bayar lebih mengikut harga beras yang dimakan, ianya dibolehkan. Membayar zakat fitrah mengikut jenis beras yang dimakan amatlah digalakkan namun tidak wajib. Yang wajib ialah membayar zakat fitrah, yang mana jumlah minimanya sebanyak RM7 seorang.
Cara bayar zakat fitrah
Terdapat pelbagai cara untuk membayar zakat fitrah. Anda boleh bayar terus kepada amil bertauliah di semua pusat kutipan zakat, masjid, surau, serta lokasi tumpuan ramai seperti pusat membeli-belah. Anda juga boleh menunaikan zakat fitrah secara dalam talian. Antara portal yang menyediakan kemudahan membayar zakat adalah:
- Layari https://fitrah.zakat.com.my/
- Portal Zakat atau Majlis Agama negeri masing-masing
- Perkhidmatan JomPay
- Portal MyEG
- Portal Pos Malaysia
- Perbankan Internet
Anda juga boleh bayar di Aplikasi berikut:
- SnapNPay
- Boost
- GoPayz
- Shopee
Diharapkan dengan penjelasan ringkas ini, anda lebih jelas tentang zakat fitrah. Pastikan anda tunaikan kewajiban zakat fitrah untuk tahun ini sekiranya berkemampuan dan cukup syarat!