Jangan Jadi Mangsa Skim Penipuan Kerja Dari Rumah

CompareHero.my Team

CompareHero.my Team

Last updated 04 June, 2021

“Kerja Mudah Dari Rumah!” “RMXXX-RMXXX Seminggu”. Anda selalu melihat iklan dengan ayat seperti ini? Rasa curiga? Jika ya, bagus. Ayat seperti ini merupakan antara yang sering digunakan oleh penipu skim kerja dari rumah, dengan menjanjikan pendapatan yang besar untuk kerja yang mudah.

Banyak lagi taktik yang digunakan untuk menarik mangsa, anda boleh lebih lanjut baca di sini.

Mengapa anda perlu ambil kisah dengan skim penipuan ini?

Pada tahun 2016, satu kaji selidik yang dibuat oleh Telenor Group menunjukkan bahawa rakyat Malaysia merupakan antara yang paling mudah terpedaya dengan skim penipuan internet di rantau ini. Dalam kaji selidik yang turut meliputi rakyat dari Singapura, India, dan Thailand, rakyat Malaysia menduduki tempat pertama dengan hamper 46% responden mengaku telah menjadi mangsa.

3 skim penipuan yang telah mengaut ramai mangsa termasuklah:

  • Skim penipuan Kerja Dari Rumah (30%)
  • Skim penipuan belian/lelongan barangan (22%)
  • Skim penipuan temujanji online (20%)

Sumber: The Star

Lebih merisaukan, 6 dari 10 mangsa melaporkan kerugian sekitar RM7,050 seorang. Dengan pertambahan pengguna internet di Malaysia, statistic ini perlu diberi perhatian. Kita menghabiskan masa hampir setap hari menggunakan internet, dan lebih banyak membeli barang dalam talian. Lantas, kita perlu sentiasa peka dengan semua jenis penipuan dan ciri-cirinya.

Apakah ciri-ciri skim penipuan kerja dari rumah?

Setelah melihat risiko kerugian yang bakal anda tanggung dari skim penipuan ini, mari kita lihat apakah ciri-ciri untuk mengenalpasti penipuan tersebut. Terdapat banyak laman-laman web yang mengiklankan kerja kosong yang sah, seperti Jobstreet.com dan MauKerja, tetapi anda perlu skeptik dengan ayat dan teknik yang digunakan dalam iklan-iklan kerja yang kelihatan mencurigakan.

Antara contoh ciri-ciri skim penipuan kerja dari rumah yang dapat dikenalpasti termasuklah:

Anda perlu membuat bayaran pendahuluan

Antara ciri-ciri yang paling jelas untuk mengenalpasti skim penipuan ini. Cara ini yang menyebabkan ramai mangsa kehilangan wang. Secara logiknya, pernahkah anda dengar syarikat yang ingin merekrut pekerja meminta mereka untuk membuat bayaran terlebih dahulu sebelum diterima bekerja?

Jika sesebuah syarikat ingin mengambil pekerja, mereka akan mengiklankan maklumat-maklumat dengan terperinci secara PERCUMA, untuk memastikan pekerja yang berkelayakan bakal diterima. Anda juga tidak perlu membayar apa-apa.

Skim-skim penipuan ini akan meminta anda untuk mendepositkan bayaran ke akaun bank mereka, sebelum maklumat pekerjaan diberi. Alasan yang diberikan biasanya ialah wang tersebut digunakan untuk mendaftarkan akaun serta perisian yang diperlukan untuk pekerjaan tersebut.

Maklumat tentang pembayaran ini biasanya tidak akan diiklankan terus (lihat gambar diatas), untuk memastikan bakal mangsa akan memohon. Biasanya, pembayaran akan diminta selepas mangsa berhubung dengan mereka

Pengajaran: JANGAN buat apa-apa bayaran jika diminta.

See what we mean? See what we mean?

Maklumat mengenai kerja terlalu sempurna

Iklan-iklan pekerjaan ini biasanya akan menggunakan frasa-frasa seperti berikut:

“Kerja di rumah atau di mana-mana sahaja!”

“Waktu kerja yang fleksibel!!!”

“Tetapkan jadual anda sendiri!!!”

“Kerja yang mudah dan ringkas!!!”

“Tiada pengalaman diperlukan!!!”

Pendapatan sehingga RM300-RM500 seminggu!!!”

Iklan-iklan ini (yang menggunakan banyak tanda seru, disamping struktur yang berterabur) akan disertakan dengan gambar-gambar seperti individu yang gembira memegang wang yang banyak, timbunan wang di atas meja, ataupun akaun bank kononnya milik salah seorang pekerja, untuk ‘memancing’ bakal mangsa.

Jika sememangnya pekerjaan ini seperti apa yang mereka katakan, mengapa ianya tidak diwar-warkan di media massa? Malah, maklumat-maklumat yang diberikan, bak kata orang “too good to be true”. Dan ia sememangnya too good to be true pun. Tidak ada pekerjaan yang sah yang beoleh menawarkan pendapatan yang tinggi dengan kerja yang amat mudah.

Pengajaran: Jangan mudah percaya dengan iklan-iklan seperti ini!

Maklumat tambahan yang diberikan kurang jelas atau lari dari topik

Untuk tujuan penyelidikan, kami telah cuba untuk menghubungi halaman-halaman yang mengiklankan jawatan kosong ini melalui Facebook Messenger.

Salah seorang admin halaman tersebut telah memaklumkan yang kami perlu menyertai latihan online sebelum mula bekerja, dan tiada bayaran akan dikenakan. Sebaik sahaja kami bertanya sama ada bayaran perlu dibuat selepas latihan tersebut, jawapan yang kami terima ialah “Adakah turan berminat untuk menyertai latihan tersebut?” Tiada jawapan jelas yang diberikan untuk soalan kami.

Admin halaman kedua pula tidak mahu menjawab pertanyaan kami, sebaliknya meminta kami menghubungi mereka melalui e-mel. Tindakan ini sebenarnya lebih bahaya, kerana terdapat risiko phishing (e-mel yang direka seakan-akan e-mel dari syarikat yang boleh dipercayai. Tetapi, ianya bakal mencuri maklumat-maklumat peribadi tanpa anda sedari. Sila padamkan segera sekiranya anda mendapati e-mel ini ada dalam akaun anda) menanti.

Para penipu ini tidak akan memberikan jawapan yang jelas untuk anda, mereke lebih gemar berdolak-dalik dan lari dari topik perbincangan.

Pengajaran: Sekiranya anda tidak mendapat jawapan yang dikehendaki, ataupun diminta memberikan maklumat melalui e-mel, hindari segera!

citibank-pl-ad

Tidak ada acara yang mudah untuk mencari wang

Tidak dinafikan, keadaan ekonomi semasa membuatkan ramai terdesak untuk mencari wang tambahan. Tetapi, banyak lagi cara sah dan halal sebagai sumber pendapatan tersebut. Jika apa yang anda perlu lakukan hanya menaip dan melipat sampul surat dan anda akan dibayar secara mingguan atau bulanan, berhati-hatilah.

Sesetengah skim ini juga meminta anda untuk mengajak ahli keluarga dan rakan-rakan, dan menawarkan komisyen jika anda Berjaya berbuat sedemikian. Inilah taktik yang biasa digunakan skim Ponzi. Anda dibayar untuk menyertai skim tersebut, dan keuntungan akan dibahagikan bersama untuk anda dan downline. Jika anda fikir ianya tidak apa-apa, sikap inilah yang akan membuatkan skim ini terus beroperasi.

Skim penipuan ini biasanya akan menyasarkan suri rumah, pelajar-pelajar, penganggur, dan mereka yang mencari wang tambahan. Biasanya, golongan ini akan sentiasa di rumah, dan amat terdesak untuk mencari wang bagi menampung kehidupan.

Pengajaran: Skim ini amat mengenali sasaran-sasaran mereka. Jika anda termasuk dalam golongan mangsa, hati-hati jika menerima tawaran kerja dari rumah.

Tips untuk mengelakkan diri dari skim penipuan

Telenor Group turut berkongsi tips untuk melindungi diri anda dari skim penipuan ini:

  • Padam e-mel yang mencurigakan.
  • Abaikan iklan-iklan kerja yang “too good to be true”.
  • Pastikan komputer anda memiliki perisian anti-malware.
  • Buat kajian mengenai skim penipuan di internet.
  • Kongsikan maklumat mengenai penipuan ini dengan rakan dan ahli keluarga untuk mengelakkan mereka tertipu.


Baca artikel-artikel ini untuk mengenali dan melindungi diri anda dari skim-skim penipuan di internet


The CompareHero.my team is comprised of many talented individuals, sharing their knowledge, experiences and research to help others make better financial decisions.

FINANCIAL TIP:

Use a personal loan to consolidate your outstanding debt at a lower interest rate!

Subscribe to our newsletter to stay up-to-date with exclusive money-saving tips & great deals