Buat anda yang bekerja secara bebas atau lebih dikenali sebagai freelancer, musim cukai merupakan musim yang mendebarkan. Maklumlah pendapatan freelancer bukan seperti mereka yang bekerja tetap yang mana gaji pasti akan masuk pada tarikh yang tetap setiap bulan. Pendapatan freelancer pula dibayar mengikut servis yang disediakan. Sekiranya bulan ini ada yang menggunakan servis anda maka anda akan dibayar dan sebaliknya.
Bagaimana untuk menentukan pekerjaan itu dibawah kategori freelance?
Sebelum menjawab persoalan utama sama ada freelancer perlu memfailkan cukai atau tidak, jom kita fahami definisi freelancer atau bekerja sendiri. Menurut Bank Dunia, jika bayaran anda bergantung secara langsung kepada keuntungan yang diperoleh daripada barangan dan perkhidmatan yang dihasilkan maka anda dikategorikan sebagai bekerja sendiri.
Memandangkan banyak aktiviti ekonomi bergantung kepada teknologi, kebanyakan freelancer hari ini juga menyediakan servis untuk perniagaan atas talian atau perniagaan digital. Berdasarkan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), perniagaan digital merujuk kepada aktiviti ekonomi bedasarkan penggunaan teknologi digital. Berikut merupakan contoh aktiviti perniagaan digital:
Sumber: LHDN
Siapa yang perlu memfailkan cukai pendapatan?
Menurut Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), individu yang berpendapatan melebihi RM34,000 setahun selepas potongan KWSP perlu memfailkan cukai. Mereka yang gagal berbuat demikian boleh menghadapi tindakan undang-undang, jadi pastikan anda lakukan bahagian anda dengan mengisytiharkan pendapatan anda.
Amat penting untuk anda faham bahawa menfailkan penyata cukai dan membayar cukai merupakan dua perkara berbeza. Walaupun anda memfailkan penyata cukai belum tentu anda perlu membayar cukai.
LHDN juga menetapkan bahawa perniagaan yang dikenakan cukai termasuklah pemilikan tunggal/bekerja sendiri, individu yang menjalankan perniagaan sendiri, perkongsian – termasuk sebarang usaha perniagaan dua atau lebih individu yang menggabungkan pemilikan, kuasa, tenaga kerja atau kemahiran dalam menjalankan perniagaan.
Apakah perbezaan memfailkan cukai pendapatan antara freelancer dan pekerja makan gaji?
Sekiranya anda makan gaji, anda akan menerima dokumen yang dipanggil borang EA yang memperincikan jumlah pendapatan gaji serta jumlah caruman KWSP dan PERKESO anda untuk tahun tersebut. Borang ini penting semasa mengisi borang nyata kerana ia memberikan butiran ringkas yang anda perlukan untuk melengkapkan penyata cukai anda di link ini.
Untuk freelancer pula, memandangkan anda tidak mempunyai EA form, jadi anda perlu meneliti invois dan perbelanjaan anda sendiri.
Apakah borang cukai yang harus digunakan oleh freelancer?
Jika anda belum mendaftarkan perkhidmatan atau servis anda sebagai perniagaan rasmi, anda harus menggunakan Borang BE, iaitu borang khusus untuk individu yang tidak memiliki perniagaan.
Sekiranya anda mempunyai syarikat berdaftar, anda perlu memfailkan cukai anda dengan Borang B.
Dapatkan maklumat lanjut mengenai kepentingan setiap borang di pautan ini.
Sekarang anda pasti lebih jelas bahawa tidak kira apa sekalipun bentuk pendapatan yang anda perolehi, asalkan ia melebihi nilai ambang ditetapkan oleh LHDN, anda perlu memfailkan dan membayar cukai.
Berikut ialah cara untuk memudahkan anda memfailkan cukai pendapatan sebagai freelancer:
1. Manfaatkan pelepasan cukai
Untuk mengurangkan bayaran cukai pendapatan anda sebagai freelancer, anda harus fahami jenis-jenis pelepasan cukai yang layak dituntut. Rujuk pautan ini untuk senarai lengkap pelepasan cukai yang boleh dituntut untuk tahun 2021.
2. Upah perunding cukai
Ini juga merupakan salah satu pilihan sekiranya aktiviti freelance anda telah didaftarkan sebagai perniagaan. Perunding cukai akan membantu anda menuntut perbelanjaan perniagaan dan mendapatkan sebanyak mungkin potongan mengikut undang-undang.
3. Daftar perniagaan anda
Mempunyai perniagaan yang berdaftar dapat membina kredibiliti dan keterlihatan yang lebih baik dengan pelanggan, peluang yang lebih baik untuk mendapatkan pinjaman perniagaan, kadar cukai yang lebih baik dan layak untuk menuntut perbelanjaan dan potongan perniagaan.
4. Hubungi LHDN
Jika anda masih tidak pasti atau ragu-ragu untuk memfailkan cukai pendapatan anda,dapatkan bantuan daripada pihak LHDN yang boleh menghuraikan semua kebimbangan cukai anda.
Tidak dinafikan terdapat banyak ketidakpastian mengenai prosedur untuk freelancer memfailkan cukai jadi untuk tidak berteka teki, lebih baik anda terus hubungi LHDN.
5. Jangan memandang remeh terhadap tanggung jawab memfailkan cukai
Jangan sekali-kali cuba mengelakkan dari memfailkan cukai atau tidak menjelaskan cukai kerana anda boleh dihukum dan didenda mengikut undang-undang. Pastikan juga anda tidak memalsukan catatan pada borang cukai kerana anda boleh- “dihukum denda tidak kurang daripada satu ribu ringgit dan tidak lebih daripada dua puluh ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kepada kedua-duanya”. Pesalah juga perlu membayar 3 kali ganda jumlah cukai yang kurang dicaj sebagai penalti.