Ramai antara kita yang tahu akan kepentingan untuk pengurusan kewangan peribadi dan merekodkan semua perbelanjaan, namun realitinya tidak ramai yang melakukannya. Bagaimana untuk bermula?
Dalam siri artikel ini, kami akan memperkenalkan konsep-konsep kewangan asas yang bakal membantu anda untuk memahami aturan kewangan peribadi. Jadi, jika anda berhasrat untuk menambahkan ilmu pengetahuan mengenai pengurusan kewangan yang berkesan, teruskan membaca!
Dalam kebanyakan negara, syarikat-syarikat PLC (Publicly Listed Company) dikehendaki untuk menyediakan 3 penyata kewangan sebagai sebahagian dari maklumat perakaunan yang perlu tersedia kepada umum. Penyata-penyata tersebut ialah Penyata Pendapatan, Penyata Kedudukan Kewangan (juga dikenali sebagai Kunci Kira-Kira), dan Penyata Aliran Tunai. Dalam bahagian pertama siri ini, kita akan membincangkan mengenai Penyata Pendapatan dan fungsinya dalam menentukan dari mana wang datang, dan kemana ianya disalurkan.
Dalam situasi ini, kami menggunakan watak seorang jejaka bernama Aiman. Beliau berusia 29 tahun dan bekerja sebagai eksekutif jualan di sebuah bank. Baru-baru ini, beliau telah berkenalan dengan seorang wanita yang gemar jika Aiman mengajaknya membeli-belah. Beliau amat sukakan wanita tersebut, tetapi dengan setiap sesi membeli-belah apabila mereka berjumpa, Aiman tidak pasti sama ada beliau mampu untuk terus bertemujanji.
Untuk menenangkan fikiran, Aiman ingin menganalisis keseluruhan perbelanjaan bulanan beliau. Sewaktu menggunakan Facebook, salah seorang rakan beliau berkongsi satu artikel di laman web mengenai langkah-langkah menyediakan penyata pendapatan peribadi. Menurut artikel tersebut, penyata pendapatan terbahagi kepada 3: Pendapatan, Belanja, dan Untung Bersih.
[toc]
Pendapatan
Dalam menyediakan penyata pendapatan untuk bulan Januari , dia perlu menentukan terlebih dahulu jumlah wang yang diperoleh dari pelbagai sumber pendapatan. Kebanyakan pendapatan datang dari gaji, sewa daripada sewaan hartanah, faedah dari simpanan, bonus, dan dividen pelaburan.
Selepas membuat senarai, pendapatan Aiman untuk adalah seperti berikut:
- Gaji Aiman ialah RM32,000 setahun selepas cukai, RM2667 sebulan
- Selaku eksekutif jualan, Aiman turut menerima komisyen dari jualan yang dibuat. Beliau merekodkan RM18,000 untuk komisyen
- Aiman perlu pergi ke banyak lokasi untuk tujuan pekerjaan beliau, lantas turut menerima elaun perjalanan sebanyak RM600 sebulan
- Beliau menerima bonus akhir tahun dengan nilai sebulan gaji, iaitu RM4,167
- Aiman menerima dividen RM5 sesaham untuk 30 saham beliau di Apple. Beliau memiliki saham tersebut sepanjang tahun, maka tidak menjana untung modal tersebut
- Aiman tidak menyewakan apa-apa hartanah
Dalam penyata pendapatan, jumlah bersih pendapatan atau belanja perlu dibahagikan kepada setiap bulan yang menyumbang. Contohnya, bonus akhir tahun tersebut berdasarkan hasil kerja Aiman untuk 12 bulan yang lepas. Situasi yang sama juga untuk bayaran insurans peribadi untuk perlindungan 6 bulan. Mungkin beliau hanya membayar sekali sahaja, tetapi beliau telah diinsuranskan sepanjang 6 bulan.
Dengan maklumat diatas, Aiman telah menyediakan bahagian pertama Penyata Pendapatan seperti berikut:
Pendapatan Bulan Januari | ||
Gaji Bulanan | RM | 2667 |
Komisyen Jualan | RM | 1500 |
Elaun Perjalanan | RM | 600 |
Bonus Bulanan | RM | 222 |
Dividen Bulanan | RM | 13 |
Jumlah Pendapatan Bulanan | RM | 5002 |
Pendapatan bulanan berjumlah RM5002 bukanlah bemakna akaun bank Aiman akan meningkat sebanyak jumlah tersebut dalam bulan Januari. Matlamat utama penyata ini ialah untuk menentukan sama ada gabungan pendapatan dan perbelanjaan anda mampu menghasilkan keuntungan. Ianya tidak akan memberikan maklumat mengenai baki tunai anda. Jika anda ingin mengetahui sama ada anda memiliki bekalan tunai yang cukup untuk membuat pembelian, Penyata Aliran Tunai lebih sesuai untuk tujuan tersebut.
Belanja
Selepas Aiman menyenaraikan semua sumber pendapatan, beliau kini perlu menyenaraikan perbelanjaan yang dibuat dalam bulan tersebut. Ini termasuklah perbelanjaan menggunakan kad debit dan kredit serta caj-caj yang dikenakan yang berkaitan dengan perbelanjaan pada bulan tersebut. Dalam situasi ini, Aiman hanya perlu menyenaraikan perbelanjaan pada bulan Januari sahaja, dengan apa yang tidak berkaitan dibawa ke bulan-bulan yang lain. Sebagai contoh, Aiman telah membayar bill elektrik bulan Disember pada bulan Januari, tidak disenaraikan dalam Penyata Pendapatan Januari, sebaliknya Disember.
Ini mungkin kelihatan remeh, tetapi selepas 2-3 kali melakukannya, anda akan mula ingat akan perbelanjaan yang anda buat dan mampu menganggarkan nilai setiap kategori perbelanjaan. Sesetengah bank akan mengkategorikan perbelanjaan yang anda buat menggunakan kad kredit atau debit. Periksa akaun bank online anda sama ada fungsi ini ditawarkan dan ianya akan menjimatkan masa, seperti M2U Planner dari Maybank2u. Jika tiada, anda boleh gunakan aplikasi belanjawan ini.
Berikut merupakan senarai perbelanjaan Aiman:
- Makanan dan barangan dapur; RM1,300
- Sewa Rumah; RM1,500 yang dibayar pada bulan Disember
- Pada bulan November, Aiman telah membayar insurans perlindungan berharga RM300 untuk tempoh 6 bulan
- Pada bulan Oktober, Aiman melanggan keahlian gymnasium untuk tempoh 12 bulan, dengan kos RM1,440
- Pada bulan Januari, beliau telah menggunakan servis teksi sebanyak 20 kali, dengan caj kad kredit sebanyak RM600
- Teman wanita Aiman telah menggunakan kad kredit beliau untuk membeli belah sebanyak 12 kali pada bulan lepas, jumlah caj kad kredit RM1,400
- Aiman membayar langganan Netflix beliau untuk bulan Januari; RM50
- Pelan Pascabayar telefon Aiman untuk bulan Januari berjumlah RM85
- Aiman juga membuat bayaran untuk pinjaman pelajaran sebanyak RM250
- Pada bulan Januari, perbelanjaan-perbelanjaan lain bernilai RM500
Aiman kini menggunakan maklumat perbelanjaan beliau untuk melengkapkan bahagian kedua penyata pendapatan. Seperti yang dinyatakan diatas, perbelanjaan yang dibayar sekaligus dan merupakan kombinasi kepada bayaran bulanan perlu dibahagi kepada bulan yang berkaitan. Berdasarkan senarai di atas, bayaran insurans di bulan November, atau langganan keahlian gymnasium (Oktober) yang telah dibayar lebih awal, tetapi membenarkan anda untuk menggunakan servis yang diberikan pada bulan Januari. Maka, kos-kos yang berkaitan perlu dikira.
- Insurans: RM300 / 6 bulan = RM50
- Keahlian Gymnasium: RM1,440 / 12 = RM120
Perbelanjaan Bulan Januari | ||
Makanan/Barangan Dapur | RM | 1300 |
Sewa Rumah | RM | 1500 |
Bayaran Insurans | RM | 50 |
Belanja Pengangkutan | RM | 600 |
Membeli-belah | RM | 1600 |
Hiburan | RM | 50 |
Pelan Telefon | RM | 85 |
Pinjaman Pelajaran | RM | 250 |
Keahlian Gymnasium | RM | 120 |
Lain-lain | RM | 500 |
Jumlah Belanja Bulanan | RM | 6055 |
Penyata Pendapatan
Selepas menyempurnakan kedua-dua senarai tersebut, Penyata Pendapatan kita kini hampir sempurna. Untuk langkah seterusnya, Aiman perlu menggabungkan kedua-dua bahagian, dan mengira jumlah bersih untuk bulan Januari; dengan menolak jumlah belanja dari jumlah pendapatan.
Pendapatan Bulan Januari | ||||||
Gaji Bulanan | RM | 2667 | ||||
Komisyen Jualan | RM | 1500 | ||||
Elaun Perjalanan | RM | 600 | ||||
Bonus Bulanan | RM | 222 | ||||
Dividen Bulanan | RM | 13 | ||||
Jumlah Pendapatan Bulanan | RM | 5002 | ||||
Perbelanjaan Bulan Januari | ||||||
Makanan/Barangan Dapur | RM | 1300 | ||||
Sewa Rumah | RM | 1500 | ||||
Bayaran Insurans | RM | 50 | ||||
Belanja Pengangkutan | RM | 600 | ||||
Membeli-belah | RM | 1600 | ||||
Hiburan | RM | 50 | ||||
Pelan Telefon | RM | 85 | ||||
Pinjaman Pelajaran | RM | 250 | ||||
Keahlian Gymnasium | RM | 120 | ||||
Lain-lain | RM | 500 | ||||
Jumlah Belanja Bulanan | RM | 6055 | ||||
Jumlah Bersih | RM | -1053 |
Tempoh Penyata Pendapatan boleh diatur secara bulanan, setiap suku tahunan, atau tahunan. Untuk penyata pendapatan peribadi, ianya lebih bermanfaat jika anda gunakan format bulanan, dan gunakan maklumat-maklumat penyata pendapatan anda untuk menyediakan Penyata Pendapatan Tahunan.
Jangan sangka tugas anda telah selesai pula! Untuk mendapatkan gambaran sebenar mengenai perbelanjaan anda, kira berapakah peratus perbelanjaan dari jumlah pendapatan. Dengan langkah ini, anda boleh membuat perbandingan bulanan dan melihat perbelanjaan-perbelanjaan yang mendatangkan kesan besar keatas pendapatan anda. Ianya berguna terutamanya jika pendapatan bulanan anda berbeza setiap bulan. Malah, anda juga boleh menggunakan perbandingan ini untuk membuat anggaran perbelanjaan untuk bulan-bulan akan datang.
Langkah ini biasanya dikenali sebagai ‘peratus dari jualan’. Memandangkan anda tidak menjual apa-apa, kita boleh menamakannya ‘peratus dari pendapatan’.
Peratus perbelanjaan dari pendapatan
Jumlah Pendapatan Bulanan | RM | 5002 | 100% |
Perbelanjaan Bulan Januari | |||
Makanan/Barangan Dapur | RM | 1300 | 26% |
Sewa Rumah | RM | 1500 | 30% |
Bayaran Insurans | RM | 50 | 1% |
Belanja Pengangkutan | RM | 600 | 12% |
Membeli-belah | RM | 1600 | 32% |
Hiburan | RM | 50 | 1% |
Pelan Telefon | RM | 85 | 2% |
Pinjaman Pelajaran | RM | 250 | 5% |
Keahlian Gymnasium | RM | 120 | 2% |
Lain-lain | RM | 500 | 10% |
Jumlah Belanja Bulanan | RM | 6055 | 121% |
Jumlah Bersih | RM | -1053 | -21% |
Dari jadual diatas, Aiman boleh merumuskan:
- Pendapatan bulanan berada dalam skala negatif, yang menandakan Aiman berbelanja lebih dari kemampuan beliau untuk bulan Januari. Untuk setiap RM1.00, Aiman telah membelanjakan RM1.21. Jika Aiman tidak membuat sebarang perubahan, beliau tidak akan mampu menyimpan, dan bakal dibebani hutang dalam jangka panjang.
- 32% dari pendapatan beliau adalah untuk membeli-belah, yang boleh dikira agak tinggi. Aiman perlu berbincang dengan teman wanitanya begi menentukan penggunaan kad kredit yang betul!
Anda mungkin telah menjalani hidup dengan jumlah pendapatan negatif lebih kerap dari apa yang anda sedari. Dan ini hanya akan terserlah selepas anda membuat Penyata Pendapatan Peribadi. Banyak produk kewangan yang boleh membantu anda untuk mengekalkan pendapatan bulanan dalam skala positif (pinjaman peribadi, kad kredit), tetapi ini biasanya hanya untuk jangka pendek sahaja. Jika anda memiliki aliran pendapatan yang negatif, berikan fokus untuk mengurangkan perbelanjaan terlebih dahulu.
Kami harap panduan ini boleh membantu anda untuk menggunakan penyata pendapatan dalam mengurus kewangan peribadi menjadi lebih baik. Dalam bahagian kedua siri ini, kita akan lihat mengenai aset dan liabiliti, yang berkaitan dengan kunci kira-kira.
Muat turun templat Penyata Pendapatan Peribadi
Sebagai permulaan, anda boleh muat turun Penyata Pendapatan peribadi disini. Hanya masukkan jumlah pendapatan dan perbelanjaan anda dan templat ini akan membuat perkiraan secara automatik! Ini bakal memudahkan anda untuk membuat belanjawan.