6 Sebab Mengapa Hutang Along Memudaratkan Kehidupan Anda

CompareHero.my Team

CompareHero.my Team

Last updated 27 April, 2021

Along atau ‘Ah Long’ adalah terma yang merujuk kepada syarikat pinjaman wang yang tidak berlesen. Kebiasaannya, mereka yang terikat dengan pinjaman Along adalah daripada golongan yang berpendapatan rendah atau yang benar-benar terdesak dan memerlukan wang tunai dengan segera.

Situasi ini terjadi kerana pinjaman Along adalah lebih mudah, ringkas dan kebiasaannya tidak memerlukan sebarang pemeriksaan kredit berbanding dengan pinjaman bank atau syarikat pinjaman wang yang berlesen.

Walaupun tidak berlesen, iklan-iklan poster tentang pinjaman Along boleh dijumpai di sekitar kota bagi menarik perhatian orang ramai, dengan kata-kata manis yang memikat hati mereka yang memerlukan dan tidak menyedari bahaya membuat pinjaman daripada Along.

Wang yang dipinjam daripada Along didatangkan dengan faedah dan risiko yang tinggi. Ramai yang memandang rendah terhadap risiko meminjam wang daripada Along. Mereka berpendapat bahawa selagi jumlah wang yang dipinjam adalah kecil dan dibayar dalam tempoh sesingkat yang mungkin, urusan pinjaman wang daripada Along boleh berjalan dengan lancar tanpa sebarang masalah.

Namun hakikatnya berbeza sekali. Lihat 6 sebab mengapa berhutang dengan Along boleh memudaratkan kehidupan anda dan keluarga anda.

1. Kadar faedah yang tidak berkesudahan

Pernahkah anda mendengar terma ‘sepuluh-tiga’? Ianya merujuk kepada kadar faedah yang dikenakan ke atas peminjam. Kadar faedah sepuluh-tiga bermakna bagi setiap RM10 yang dipinjam, RM3 akan dikenakan sebagai faedah. Dalam kata lain, jumlah wang yang anda pinjam akan dikenakan faedah sebanyak 30% dalam hanya satu bulan!

Untuk memberikan gambaran yang lebih jelas tentang jumlah wang yang dibayar kembali jika anda membuat pinjaman kewangan daripada Along, lihat contoh di bawah:

Jumlah dipinjam: RM1,000

Faedah perlu dibayar (sebulan): RM300

Faedah untuk pinjaman 12 bulan: RM3,600

Jumlah keseluruhan yang perlu dibayar: RM4,600

Adakah anda masih berminat untuk membuat pinjaman kewangan daripada Along? Sepuluh -tiga bukanlan satu-satunya kadar faedah yang ditawarkan, walaupun jelas sekali ianya adalah sangat tinggi. Kadar faedah yang dtawarkan oleh Along juga termasuk sepuluh - empat dan sepuluh – lima, bergantung kepada jumlah pinjaman atau situasi kredit peminjam. Bayangkan betapa tingginya faedah yang perlu anda bayar jika  jumlah pinjaman anda dikenakan kadar faedah sepuluh-lima!

Syarikat pinjaman wang tanpa lesen sangat licik dalam strategi pemasaran mereka. Mereka telah memperkenalkan konsep faedah harian ke atas pinjaman kecil - kebiasaannya diambil oleh golongan yang susah dan paling terdesak seperti pekerja buruh, petani dan juga penjaja kecil-kecilan. Pinjaman yang dikenakan faedah secara harian ini dikenali sebagai pinjaman 'hari -hari' dalam kalangan penduduk tempatan.

Peminjam faedah harian selalunya tertarik dengan proses permohonan pinjaman yang mudah dan pantas. Apa yang menariknya, mereka tidak perlu melawat Along untuk membuat bayaran harian mereka. Sebaliknya, pengutip hutang yang berkhidmat untuk Along akan membuat lawatan setiap hari untuk mengumpul pembayaran balik.

Bunyinya mudah bukan? Jangan lupa bahawa pinjaman wang yang dibuat akan dikenakan faedah yang akan menimbun setiap hari, dan pengutip hutang Along akan tetap menjalankan tugas sama ada anda mempunyai jumlah yang perlu dibayar kembali atau tidak. Lama-kelamaan, peminjam wang daripada Along hanya akan dibebani hutang yang bertimbun oleh kerana kadar faedah yang terlalu tinggi.

2. Kos dan terma yang tersembunyi

Tidak seperti bank dan institusi kewangan yang berlesen, Along tidak semestinya mempunyai terma dan syarat yang jelas dan terperinci sebelum anda menandatangani perjanjian pinjaman. Anda tidak akan pernah benar-benar pasti tentang kos tambahan dan caj yang mungkin dikenakan jika, katakan, anda terlepas satu pembayaran balik seperti yang dijadualkan. Sudah tentu mereka akan menjanjikan kata-kata manis kepada  anda secara lisan sebelum anda menandatangani perjanjian peminjaman anda, seperti  yuran dan caj adalah kecil, atau jadual pembayaran balik boleh sentiasa dibincangkan kembali.

Janji-janji lisan mereka jauh daripada realiti. Sama seperti bank, Along mengenakan kadar faedah penalti jika anda membayar lewat atau terlepas pembayaran. Namun kadar  penalti yang dikenakan selalunya lebih tinggi daripada bank. Selain itu, selagi syarat-syarat tidak tertera secara hitam dan putih, Along boleh mengubah peraturan dan kadar faedah pada  bila-bila masa tanpa sebarang halangan.

3. Dokumen peribadi penting diambil sebagai 'deposit keselamatan'

Kad pengenalan, passport dan kad bank sering disimpan oleh Along sebagai 'deposit keselamatan' untuk memastikan pembayaran yang berterusan walaupun ianya menyalahi undang-undang. Ini adalah salah satu daripada taktik oleh Along bagi memastikan bahawa anda tidak akan melarikan diri sebelum menyelesaikan hutang anda.

Dokumen pengenalan diri anda adalah hak anda di sisi undang-undang , dan hanya boleh ditahan oleh penguatkuasa undang-undang bagi perkara-perkara rasmi  sahaja. Maklumat peribadi anda perlu dilindungi mengelakkan kes-kes seperti kecurian identiti.

Menggadaikan pasport atau kad pengenalan anda untuk pinjaman wang sangatlah tidak berbaloi, kerana mereka boleh menyalahgunakan maklumat peribadi dengan mudah tanpa anda sedari.

4. Tiada pilihan untuk penyelesaian penuh

Along jarang membenarkan anda untuk menyelesaikan hutang anda secara sekaligus, walaupun wang tunai yang diperlukan sudah tersedia di tangan anda. Ini adalah untuk memastikan anda membayar faedah yang tinggi selama yang mungkin untuk keuntungan mereka.

5. Ditekan untuk mengambil pinjaman daripada Along lain untuk menyelesaikan hutang

Jika anda sukar untuk membayar balik pinjaman anda, mereka selalunya akan memberi tekanan kepada anda untuk mengambil pinjaman dari satu lagi Along untuk membayar balik sepenuhnya hutang pertama anda dengan alasan untuk menghindari anda daripada membayar lebih faedah dan caj dalam jangka masa panjang.

Jangan tertipu! Sebenarnya mereka mengumpan anda untuk terikat dengan hutang yang lebih besar dan faedah yang lebih tinggi.

6. Ganguan fizikal dan mental

Apabila anda tidak dapat membayar balik hutang anda, ianya bukan perkara yang luar biasa bagi mereka untuk memaksa anda membuat pembayaran melalui ancaman dan ugutan yang boleh membawa kepada keganasan. Apa yang lebih teruk, mereka tidak akan ragu-ragu melibatkan ahli keluarga anda untuk memaksa anda atau keluarga anda menyelesaikan hutang anda.

Pada bulan Januari 2016, sepasang suami-isteri yang berumur dilaporkan diganggu oleh Along secara berterusan untuk beberapa bulan kerana hutang anak perempuan mereka yang tidak diselesaikan. Malah, Along juga telah membakar pintu rumah pasangan itu bagi memaksa mereka membuat pembayaran. Liputan penuh berita itu boleh didapati di sini dalam Bahasa Inggeris.

Secara ringkasnya, cara terbaik untuk berurusan dengan Along adalah dengan tidak berurusan dengan mereka sama sekali. Cari syarikat pinjaman wang yang sah dan berlesen jika anda tidak boleh mendapatkan pinjaman daripada bank.

Jika anda bercadang untuk mendapatkan pinjaman untuk menyelesaikan masalah kewangan anda seperti hutang kad kredit atau pinjaman peribadi, hubungan badan penasihat. Bandingkan pinjaman peribadi yang terbaik di sini untuk menyelesaikan hutang anda di sini!

Juga lihat: Tip Luluskan Permohonan Pinjaman Wang Dengan Bank

Apakah pandangan anda? Kongsi pendapat dan cadangan tentang mengapa anda tidak patut mengambil pinjaman daripada mereka atau alternatif kepada Along di bahagian komen di bawah!

The CompareHero.my team is comprised of many talented individuals, sharing their knowledge, experiences and research to help others make better financial decisions.

FINANCIAL TIP:

Use a personal loan to consolidate your outstanding debt at a lower interest rate!

Subscribe to our newsletter to stay up-to-date with exclusive money-saving tips & great deals