Setakat September 2016, sebanyak 22,581 kes muflis telah direkodkan oleh Jabatan Inolvensi Malaysia yang melibatkan rakyat Malaysia berusia 25-34 tahun. Angka tersebut sangat membimbangkan kerana semakin ramai dibawah usia 35 tahun diisytiharkan muflis.
Untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut, kami telah menemuramah pihak Malaysia Financial Planning Council (MFPC) yang juga dalam misi untuk meningkatkan kefahaman kewangan di kalangan golongan muda dan seluruh rakyat Malaysia umumnya melalui bengkel dan program-program mereka. Temuramah ini diadakan bersama dengan wakil MFPC, Encik Phang Kar Yew, Naib Presiden Hubungan Luar dan Publisiti.
Kita mulakan dengan perkara asas. Apa yang dimaksudkan dengan muflis?
En. Phang: Muflis bermaksud keadaan seseorang itu telah diisytiharkan sebagai muflis. Dalam keadaan ini, individu tersebut tidak boleh membayar pinjaman dan juga kewajipan. Untuk purata rakyat Malaysia, ini bermakna mereka tidak mampu untuk membayar balik hutang kepada pemiutang.
Mengapakah semakin ramai golongan muda di Malaysia diisytiharkan muflis?
Dari data yang disediakan oleh MDI dalam artikel ini, bilangan rakyat Malaysia yang diisytiharkan muflis semakin meningkat setiap tahun. Apakah punca utama, dan mengapa situasi ini berlaku?
En. Phang: Kurang disiplin dalam pengurusan kewangan peribadi punca utama semakin ramai rakyat Malaysia yang menanggung beban hutang dan berisiko menjadi muflis. Kebanyakan individu ini juga tidak memiliki pengetahuan mengenai pengurusan kewangan, oleh itu mereka sering berbelanja melebihi kemampuan mereka.
“Gaya hidup materialistik yang keterlaluan juga disebabkan oleh keghairahan berbelanja keatas gajet-gajet terkini dan barang-barang berjenama"
Menurut En. Phang, punca utama yang dikenalpasti ialah tiada displlin dalam berbelanja dan mengurus duit, selain rendah tahap kefahaman kewangan di kalangan golongan muda di Malaysia.
En. Phang: Hutang yang meningkat di kalangan generasi millennial juga dikukuhkan dengan satu kajian yang dikeluarkan. Menurut kajian tersebut, hampir semua golongan muda Malaysia dibebani hutang. Satu lagi perkara yang merisaukan daripada kajian tersebut ialah tidak kira jumlah pendapatan individu dari golongan ini, (bawah RM 1500 atau atas RM 10000), mereka semua dalam situasi yang sama.
Gaya hidup golongan ini juga disebabkan oleh sikap terlebih berbelanja, terutamanya untuk barangan berjenama dan peralatan elektrik, seperti komputer, telefon pintar, tablet, jam pintar, dan sebagainya. Dengan mentaliti “beli dahulu, bayar kemudian”, mereka tidak kisah untuk berhutang demi untuk bergaya. Akibatnya, mereka terperangkap dan terikat dengan sekeping plastik bergelar kad kredit yang juga antara punca hutang terbesar untuk kedua-dua tangga pendapatan. Apa yang menarik, perbelanjaan makanan membentuk peratus terbesar dari keseluruhan perbelanjaan.
Mengapa masalah ini semakin parah?
En. Phang turut berkongsi beberapa data dari kajian tersebut. Menurut rekod, kegagalan untuk membayar pinjaman sewa beli kereta merupakan punca muflis tertinggi dengan 26,801 kes, diikuti pinjaman peribadi (22,153 kes), dan dan pinjaman rumah (18,819 kes).
“Mereka tidak sedar akibat dari diisytiharkan muflis. Sebaik sahaja status itu dikenakan, mereka akan sedar yang amat susah untuk seseorang itu untuk keluar dari status muflis.”
Apakah inisiatif yang ada sekarang cukup untuk membantu golongan ini?
Untuk pengetahuan anda, Akta Kebankrapan 1967 bakal dipinda untuk sesi persidangan Parlimen yang terkini. Pindaan tersebut akan dikenali sebagai Akta Insolvensi 1967 yang akan meliputi jumlah hutang yang lebih tinggi sehingga RM 50,000 sebelum seseorang diisytiharkan muflis, dan mereka boleh bebas dari status muflis dalam tempoh 3 tahun.
Setakat ini, rakyat Malaysia yang mempunyai hutang lebih dari RM 30,000 akan diisytiharkan muflis dan akan dikeluarkan dari status muflis dalam tempoh 5 tahun.
Selain pindaan tersebut, MFPC juga turut melancarkan pelbagai usaha sejak 12 tahun yang lepas untuk meningkatkan kefahaman kewangan di kalangan rakyat Malaysia, termasuklah program yang dikenali “My Money & Me.”
“rakyat Malaysia sepatutnya melengkapkan diri merekan dengan asas pengetahuan perancangan kewangan dan juga mengendai situasi kebankrapan sewaktu masih belajar lagi. Ini bakal membantu mereka untuk lebih bersedia untuk mengelakkan diri dari terperangkap dan diisytihar bankrap. “
Apa yang Perlu DiLakukan oleh Rakyat Malaysia Untuk Menjauhi Situasi Muflis?
-
Fahami pengurusan kewangan dan buat keputusan dengan betul
Kefahaman lebih baik tentang isu muflis merupakan satu cabaran yang perlu dihadapi sebelum kita boleh mengurangkan kes muflis di Malaysia. Usaha ini juga perlu bermula dari awal, dimana rakyat Malaysia perlu sedar sebelum memasuki alam pekerjaan lagi.
En. Phang: Program yang disediakan oleh MFPC terbuka untuk orang awam, dan bertujuan untuk memupuk kefahaman kewangan dan membuat keputusan berkaitan kewangan dengan bijak. Sejak 2007, kami telah menjalankan bengkel pengurusan kewangan dengan tema “Meningkatkan Kefahaman Kewangan dalam Kalangan Rakyat Malaysia”. Sambutan program menggalakkan, dan kami yakin lebih ramai rakyat Malaysia telah sedar kepentingan menguruskan kewangan untuk masa hadapan.
MFPC juga telah mengadakan Bengkel Pengurusan Kewangan untuk lebih 20,000 mahasiswa di 26 universiti. Kami akan terus meneruskan bengkel seperti tersebut dalam usaha untuk membentuk tahap professional para ahli kami dan meningkatkan kefahaman kewangan untuk semua lapisan masyarakat.
-
Pelbagaikan pelaburan
En. Phang turut berkongsi bahawa semakin ramai rakyat Malaysia sedar kepentingan untuk mempelbagai sumber pendapatan bagi menjamin kualiti hidup. Tetapi, kefahaman rakyat Malaysia tidak selari dengan inovasi teknologi kewangan yang terdapat di negara ini. En Phang menyatakan pasaran kewangan di Malaysia cukup inovatif, dinamik dan sentiasa berkembang dengan pengenalan pelbagai jenis produk yang juga kompleks. Salah satu sumber pendapatan tersebut ialah dengan melabur, dan masih ramai rakyat Malaysia yang kurang memahami hal ini.
-
Jadi pengguna bijak
Berdasarkan fakta bahawa 83% kes muflis berpunca dari pinjaman jual beli, kami harap rakyat Malaysia akan menilai bajet dan kemampuan mereka sebelum membeli kereta baharu. Sebagai individu yang masih muda, antara benda pertama yang akan dibeli selepas menerima gaji ialah kereta baharu. Tetapi, pastikan anda mampu untuk membuat bayaran ansuran, atau anda bakal berhadapan dengan risiko muflis!
Dengan pelbagai alternatif pengangkutan yang lain – termasuklah Uber dan Grab – ada banyak lagi pilihan untuk anda mudah bergerak.
En. Phang turut berkata bahawa perbelanjaan makanan merupakan jumlah perbelanjaan tertinggi untuk semua pihak. Gunakan kad kredit yang sesuai supaya anda boleh berjimat melalui rebat tunai sewaktu membeli barang dapur. Pastikan anda bayar balik baki tertunggak kad kredit sepenuhnya setiap bulan. Jika gagal berbuat demikian, kadar faedah akan dikenakan keatas baki tertunggak dan akan menghapuskan apa juga penjimatan yang anda buat. Akhirnya, anda akan bayar lebih banyak dan hutang anda mungkin akan bertambah. Gunakan kad kredit dengan bertanggungjawab dan bijak untuk menjimatkan wang.
Diisytiharkan muflis ialah satu perkara serius, dan semua rakyat Malaysia perlu sedar tentang perkara ini. Uruskan kewangan anda dengan bijak untuk elakkan diri menjadi sebahagian dari statistik tersebut.
Lihat juga: 7 Tanda Amaran yang Anda Bakal Muflis
Save
Save