Sebelum memohon pinjaman, anda perlu tahu jika ia akan menjadi hutang yang baik atau buruk bagi anda. Tidak tahu bagaimana untuk membezakan antara kedua jenis hutang tersebut? Ketahui bagaimana hutang boleh menjadi baik atau buruk, dan pelajari bagaimana untuk menguruskan hutang anda dengan bijak!
Apakah yang dimaksudkan dengan hutang baik?
Menurut data dari laporan terkini Manulife Investor Sentiment Index (MISI), 68% rakyat Malaysia sedang menanggung hutang, yang terdiri dari kos sara hidup yang tinggi, sewa, dan pendidikan anak-anak. Dengan peningkatan mendadak hutang isi rumah dalam kalangan rakyat Malaysia, Bank Negara Malaysia (BNM) telah mengetatkan syarat-syarat permohonan pinjaman untuk semua institusi kewangan berkaitan bagi membendung situasi tersebut.
Dari perspektif yang lain pula, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) melaporkan kebanyakan rakyat Malaysia yang mendapatkan khidmat bantuan mereka berhadapan dengan masalah kad kredit.
Hutang atau pinjaman bermaksud anda meminjam wang dari pihak lain (individu atau institusi kewangan) yang akan dibayar semula dalam suatu tempoh, kadangkala berserta faedah. Ramai dari kita memohon pinjaman kerana kerana kekurangan tunai untuk membuat pembelian. Apa yang menjadikan hutang itu ‘baik’ atau ‘buruk’ ialah samada impak hutang tersebut keatas status kewangan anda positif atau negatif.
Hutang baik akan bakal meningkatkan status kewangan anda, sama ada untuk jangka masa pendek ataupuun jangka masa panjang. Contohnya anda melakukan pinjaman untuk mengembangkan perniagaan anda. Pinjaman tersebut boleh dikelaskan sebagai hutang baik. Antara ciri-ciri hutang baik ialah:
- Menambah baik nilai kewangan anda.
- Membantu mengembangkan simpanan.
- Jumlah bayaran semula yang rendah.
- Kadar faedah yang rendah (ataupun kosong)
Contoh hutang baik
Pinjaman pendidikan
Kaji selidik yang dijalankan menunjukkan Malaysia menduduki tangga kelima dalam senarai negara dengan kos pendidikan tinggi termahal. Kos untuk mendapatkan pendidikan tinggi boleh kini semakin meningkat, oleh itu, tidak hairan mengapa ramai rakyat Malaysia berhutang untuk menghantar anak mereka ke universiti.
Tetapi, bak kata bekas Presiden Universiti Harvard, Derek Bok, “If you think education is expensive, try ignorance.” Mempunyai kelayakan dari university akan membantu seseorang individu untuk mendapatkan pekerjaan yang lebih baik, dan juga boleh meningkatkan pendapatan pada masa hadapan. Oleh itu, pinjaman untuk pendidikan merupakan satu pelaburan dah boleh dianggap sebagai jenis hutang yang baik.
Pinjaman untuk pelaburan
Mengambil pinjaman untuk digunakan sebagaai modal pelaburan seperti untuk dilaburkan ke unit amanah atau untuk dilaburkan ke Amanah Saham Berhad (ASB) boleh menjadi pelaburan yang baik, dengan syarat anda faham akan apa yang anda lakukan. Syarat penting untuk menjadikan hutang ini satu hutang baik ialah pulangan dari pelaburan yang anda buat mesti lebih tinggi dari kadar faedah serta bayaran semula pinjaman anda.
Apa itu hutang buruk?
Hutang buruk ialah jenis hutang yang tidak mendatangkan apa-apa kebaikan keatas status kewangan anda. Selain itu, hutang buruk juga boleh menyebabkan anda perlu menggalas lebih kos sara hidup salah dalam jangka masa panjang. Ciri-ciri lain hutang buruk termasuk:
- Membeli barangan yang mempunyai nilai susut yang cepat di masa hadapan, conthonya kereta.
- Hutang kad kredit yang tidak dibayar tepat pada masanya.
- Kadar faedah yang tinggi dan membuatkan anda perlu membayar hutang lebih dari nilai yang sepatutnya.
Contoh hutang buruk
Hutang kad kredit
Kad kredit boleh memberikan banyak manfaat dari segi kewangan sekiranya ia digunakan secara betul. Tetapi, kad kredit boleh menjadi hutang buruk jika pengguna tidak menjelaskan baki tertunggak tepat pada masanya.
Lebih teruk jika pemegang kad kredit hanya melakukan pembayaran minima sahaja, sekadar mencukupkan syarat. Tindakan ini akan menyebabkan kadar faedah yang dikenakan terhadap baki tinggi, sdan juga boleh menjejaskan skor kredit pengguna.
Bagaimana untuk menguruskan hutang dengan baik?
Hubungi pihak bank atau pemberi pinjaman dengan segera jika anda berhadapan kesukaran untuk menjelaskan pinjaman anda tepat pada masanya. Kebiasaannya, pihak bank akan terbuka untuk menstrukturkan semula jadual pembayaran kerana mereka juga ingin mengurangkan jumlah pinjaman tidak berbayar (non performing loan).
Selain daripada itu, anda juga boleh menghubungi Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK). Ditubuhkan oleh Bank Negara Malaysia, agensi ini menawarkan perkhidmatan percuma antaranya kaunseling, nasihat pengurusan kewangan, dan juga pengurusan hutang dibawah Program Pengurusan Hutang (Debt Management Programme)
Sebelum anda memohon pinjaman, bandingkan terlebih dahulu jenis-jenis pinjaman yang ditawarkan oleh bank untuk mendapatkan kadar faedah terbaik.