Risau anda tidak mampu untuk menanggung kos pendidikan anak anda dengan keadaan ekonomi dan kos sara hidup yang meningkat? Sama ada untuk pengajian dalam atau luar negara, anda boleh rancang pendidikan anak anda dengan senarai pelan simpanan ini mulai sekarang!
Dalam satu kaji selidik yang dilakukan, Malaysia berada di tangga kelima sebagai negara termahal untuk melanjutkan pendidikan tinggi. Kaji selidik ini juga melaporkan ibu bapa di Malaysia membelanjakan lebih separuh dari pendapatan mereka untuk pendidikan tinggi anak mereka. Kaji selidik tersebut mengambilkira nisbah pendapatan ke kos pendidikan, dan didapati rakyat Malaysia membelanjakan 55% dari gaji untuk membiaya anak mereka ke universiti.
Jangan risau, anda tidak perlu berada di dalam golongan statistik tersebut. Pertama, anda perlu membuat anggaran kos pendidikan anak anda. Jangan lupa untuk ambil kira kesan inflasi ke atas simpanan atau pelaburan tersebut. Dengan anggaran tersebut sebagai asas, anda boleh tetapkan jumlah sasaran dan rancang tindakan terbaik untuk mencapai jumlah tersebut. Terdapat pelbagai pilahan simpanan untuk pendidikan, tetapi berikut antara pelan terbaik.
Insurans dengan pelaburan pendidikan
Kebiasaanya, insurans sering dikaitkan dengan perlindungan untuk diri, kesihatan, dan banyak lagi, tetapi ada juga insurans yang turut menyertakan pelaburan untuk pendidikan anak anda. Ia kombinasi yang bagus kerana memberikan perlindungan dan juga pelaburan untuk anak anda. Kebanyakan syarikat insurans seperti Prudential Malaysia, AIA Malaysia, dan juga bank menawarkan pelan insurans seperti ini. Ada dua jenis insurans pendidikan yang ditawarkan:
Polisi Endowmen:
- Menggabungkan pelan simpanan dengan perlindungan
- Berbentuk sertaan (participating) atau tanpa sertaan (non-participating)
- Bagi pelan tanpa sertaan, pemegang insurans tidak berkongsi keuntungan, tetapi semua faedah insurans tetap dijamin sepenuhnya.
- Untuk pelan sertaan, hanya sebahagian faedah insurans yang dijamin, dan jumlah penuh faedah pada tempoh matang insurans tidak akan dijamin sepenuhnya kerana ia bergantung kepada prestasi syarikat insurans
Polisi Pelaburan
- Menggabungkan elemen pelaburan dan perlindungan berdasarkan keperluan anda selaku pemegang polisi.
- Menawarkan fleksibiliti: anda boleh menambah jumlah bayaran premium bulanan jika pendapatan anda meningkat.
- Pemegang polisi boleh memilih jenis pelaburan. Tetapi, risikonya lebih tinggi, dan tidak ada jaminan pulangan. Pulangan boleh menjadi lebih tinggi atau lebih rendah dari jumlah anggaran anda.
Sebelum anda ingin memilih polisi insurans, pastikan:
- Tentukan berapa jumlah wang yang anda ingin peruntukan untuk pendidikan anak anda.
- Pastikan anda mampu membayar premium insurans kerana ianya merupakan komitmen jangka panjang.
- Pilih polisi yang menawarkan anda fleksibiliti untuk meningkatkan simpanan anda.
Setelah anda memilih polisi yang sesuai, sentiasa ambil tahu perkembangan simpanan anda untuk memastikan matlamat simpanan anda tercapai. Pulangan sebenar yang diisytihar oleh syarikat insurans mungkin berbeza dari anggaran awal, bergantung kepada prestasi semasa. Selain itu, anda juga boleh membuat tuntutan pelepasan cukai sehingga RM 3,000 jika anda mendapatkan insurans pendidikan untuk anak anda.
Akaun Simpanan Pendidikan
Skim Simpanan Pendidikan Negara
Skim Simpanan Pendidikan Negara (SSPN) ialah skim simpanan pendidikan oleh PTPTN untuk membantu rakyat Malaysia menyimpan untuk pendidikan tinggi. Skim ini merupakan skim patuh Shariah dibawah konsep Wakalah Bil Istithmar. Ada dua jenis pilihan untuk penyimpan, SSPN-i dan SSPN-i Plus. Perbezaan antara kedua-dua jenis akaun ini ialah SSPN-i Plus mempunyai perlindungan insurans takaful. Selain itu, skim SSPN-i mempunyai 3 kategori akaun:
Kategori 1
Akaun yang dibuka oleh ibu bapa atau penjaga pemegang akaun berusia 1 hari hingga 29 tahun.
Kategori 2
Rakyat Malaysia berusia 18 tahun hingga 29 tahun dan mempunyai hak untuk membuka akaun atau menjadi pemegang akaun yang dibuka oleh ibu bapa atau penjaga mereka.
Kategori 3 (Akaun Individu)
Rakyat Malaysia berusia 29 tahun dan keatas perlu membuka akaun individu
Selain simpanan pendidikan, anda juga bakal menikmati faedah yang datang bersama skim simpanan ini. Pertama, pelepasan cukai sehingga RM 6000 setahun.Perlindungan takaful percuma juga diberikan kepada penyimpan yang memiliki simpanan RM 1000 dan keatas di dalam akaun mereka, dan dividen dengan kadar yang kompetitif untuk simpanan yang juga layak untuk pelepasan cukai. Penyimpan SSPN-i turut layak untuk memohon pinjaman PTPTN, kerana tanpa akaun SSPN-i atau SSPN-i Plus, anak anda tidak layak untuk memohon pinjaman PTPTN.
Selain itu, keluarga dengan pendapatan kurang dari RM 4000 boleh menerima insentif geran sepadan apabila anak-anak mereka layak melanjutkan pengajian tinggi. Geran tersebut berjumlah sehingga RM 10,000, dan bergantung kepada jumlah simpanan dan tempoh pengajian. Anda boleh membuka akaun SSPN-i atau SSPN-i Plus di 73 pejabat dan cawangan PTPTN seluruh negara. Sila rujuk halaman ini untuk mendapatkan senarai cawangan-cawangan tersebut. Dokumen-dokumen yang diperlukan untuk permohonan ialah:
- Salinan Kad Pengenalan / Kad Pengenalan Polis atau Tentera pemohon
- Salinan surat beranak / MyKid / MyKad anak
- Surat Pengisytiharan atau Sijil Anak Angkat (bagi ibu bapa yang memohon untuk anak angkat dibawah jagaan mereka)
Pelaburan
Amanah Saham Didik (ASD)
Jika anda berstatus Bumiputera, jangan lupa untuk memohon skim Amanah Saham Didik yang dilancarkan pada tahun 2001. Skim ini sesuai untuk simpanan bagi pendidikan pada masa hadapan. ASD diuruskan oleh ASNB, yang merupakan syarikat subsidiari sepenuhnya yang dimiliki Permodalan Nasional Berhad. Ditubuhkan pada 22 Mei 1979, ASNB mengurus 11 dana yang dilancarkan oleh PNB. Dividen untuk ASD pada tahun 2016 ialah 6.3%. Jika anda berminat untuk melabur, harga saham seunit ialah RM 1.00 seunit.
Syarat-syarat:
- Rakyat Malaysia berstatus Bumiputera
- Berusia 18 tahun dan keatas untuk Akaun Dewasa
- 6 bulan hingga 18 tahun untuk Akaun Bijak
Unit Amanah
Selain ASD, anda juga boleh melabur dalam Unit Amanah untuk membina dana pendidikan anak anda. Unit Amanah merupakan satu alternatif pelaburan kolektif dimana wang anda akan dikumpulkan bersama-sama wang pelabur lain, dan jumlah wang merupakan aset dana tersebut. Wang akan dilaburkan ke portfolio-portfolio pelbagai aset dan akan diselia oleh pengurus dana. Apabila anda melabur dalam Unit Amanah, anda membeli unit bergantung kepada bejet anda. Anda boleh rancang jumlah unit yang ingin anda beli untuk pelaburan awal, dan beli unit tambahan pada masa hadapan.
Untuk maklumat lanjut mengenai pelaburan, sila kesini.
Buat Bersama-Sama
Dalam usaha anda untuk membina dana pendidikan mereka, jangan lupa untuk libatkan anak-anak anda bersama! Dengan penglibatan anak anda bersama untuk menyimpan dana pendidikan ini, mereka akan sedar akan cabaran dan komitmen yang diperlukan untuk menyimpan bagi pendidikan. Anda juga boleh menggalakkan anak-anak anda untuk menyimpan sedikit dari wang saku mereka untuk tujuan tersebut. Selain itu, anda boleh galakkan datuk, nenek, dan saudara-mara lain yagn sering memeberikan anak-anak anda hadiah untuk menggantikannya dengan sumbangan ke dana pendidikan tersebut.
Terdapat kedua-dua kelebihan dan kekurangan untuk setiap alternatif simpanan tersebut. (Adakah anda ingin tahu akan kelebihan dan kekurangannya? Jika ya, artikel seterusnya bakal mengulas fakta tersebut dengan lebih lanjut) Jadi, kaji terlebih dahulu pilihan-pilihan yang anda ada, termasuklah kesediaan anda untuk menampung risiko dan juga kemampuan anda terhadap komitmen yang diperlukan. ingat, mulakan simpanan ini seawall yang mungkin kerana ianya merupakan simpanan jangka panjang, lantas anda turut boleh mengambil manfaat dari kadar faedah terkompaun.
Save
Save