Indeks Harga Pengguna (IHP) Malaysia bagi telah meningkat sebanyak 2.2 peratus bagi Februari 2022 berbanding bulan yang sama pada tahun 2021. Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) ini susulan daripada kenaikan inflasi makanan.
Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin sahkan kenaikan itu telah melepasi purata inflasi bagi tahun 2011 hingga Februari 2022 iaitu 1.9 peratus.“Kenaikan inflasi makanan yang merupakan penyumbang terbesar kepada keseluruhan wajaran IHP, terus menjadi penyumbang utama kepada kenaikan inflasi negara.
“Peningkatan 3.7 peratus bagi kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol terutamanya disebabkan oleh kenaikan ketara komponen makanan di rumah yang meningkat 4.1 peratus berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.” katanya dalam kenyataan hari ini.
Peningkatan ini juga berpunca dari bahan mentah bagi penyediaan makanan seperti ayam (14.2 peratus) dan telur (13.5 peratus).
Makanan di luar rumah juga turut menunjukkan peningkatan sebanyak 3.6 peratus berbanding 3.1 peratus pada Januari 2022.
Peningkatan inflasi ini turut didorong oleh kenaikan dalam kumpulan pengangkutan (3.9 peratus) , makanan dan minuman bukan alkohol (3.7 peratus). Diikuti dengan perkakasan dan penyelenggaran isi rumah (3.2 peratus), restoran dan hotel (0.4 peratus) dan perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (0.3 peratus).
Mohd Uzir juga berkata untuk kumpulan pendapatan di bawah RM3,000, inflasi meningkat sebanyak 2.4 peratus pada Februari 2022 berbanding Februari tahun sebelumnya.
Inflasi merupakan pengukur perubahan dalam harga barang dan perkhidmatan. Ini tidak termasuk makanan segar yang harganya tidak menentu dan juga barangan kawalan oleh kerajaan.
Sumber: Bernama